SEOUL, 3 OKT – Tentera Korea Selatan menjadi tuan rumah persidangan sulung antara ketuanya dan rakan sejawatannya dari negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) hari ini, lapor agensi berita Yonhap.
Ketua Turus Tentera Darat Korea, Jeneral Park An-su, bertemu dengan Panglima Tentera Darat Malaysia, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Darat Filipina, Leftenan Jeneral Roy M. Galido; Panglima Tentera Darat Diraja Kemboja, Jeneral Mao Sophan; dan Timbalan Ketua Pegawai Turus Am Vietnam People’s Army, Leftenan Jeneral Kanan Nguyen Van Nghia.
Persidangan Ketua Tentera Darat Korea-ASEAN yang pertama berlangsung di pusat bandar Daejeon.
“Dari segi geopolitik dan geoekonomi, Korea Selatan dan ASEAN sangat berkait rapat.
“Mengukuhkan rangkaian strategik tentera darat kami adalah sangat penting bagi menangani elemen yang mengancam keselamatan,” kata Park.
Menurut Tentera Darat, rundingan keselamatan pelbagai hala dengan tentera ASEAN ‘akan membantu mewujudkan pangkalan sokongan untuk keamanan di Semenanjung Korea dan mengukuhkan kerjasama keselamatan pelbagai peringkat untuk tindak balas bersama terhadap ancaman di rantau ini.’
Tentera Darat menambah bahawa perkongsian yang lebih kukuh antara tentera Korea Selatan dan ASEAN akan membantu mempromosikan keunggulan sistem senjata Korea Selatan serta menggalakkan kerjasama antara industri pertahanan.
Bahagian pertama mesyuarat hari menyaksikan pemimpin tentera menilai situasi keselamatan semasa di rantau itu. Mereka membincangkan pengukuhan rangkaian strategik antara tentera darat dalam bahagian kedua. – Bernama