Ketua tentera Sudan enggan sertai kerajaan

MOSCOW, 8 NOV – Ketua Tentera Sudan Leftenan Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dalam satu temubual dengan Al Jazeera berkata beliau tidak akan menyertai mana-mana kerajaan selepas tempoh peralihan, lapor Sputnik.

Kenyataan itu dibuat ketika demonstrasi menentang pengambilalihan tentera berterusan di Khartoum dan beberapa bandar lain, memburukkan lagi krisis politik di negara itu.

“Kami komited untuk menyerahkan kuasa kepada kerajaan awam yang mampu mentadbir dan berjanji untuk memelihara proses peralihan itu daripada sebarang gangguan yang boleh menghalangnya,” kata al-Burhan pada Ahad, mengulangi komitmen untuk menyelesai peralihan demokrasi dan mengadakan pilihan raya tepat pada masanya.

Pemimpin tentera itu juga berkata perbincangan sedang berlangsung dengan parti-parti politik dan tokoh-tokoh lain untuk mencapai kata sepakat bagi membentuk kerajaan baharu.

Mengulas mengenai keganasan semasa tunjuk perasaan anti-rampasan kuasa, al-Burhan menafikan pembunuhan penunjuk perasaan oleh tentera Sudan sambil mengatakan siasatan mengenainya sedang berlangsung.

“Kami komited membenarkan mana-mana aktiviti politik selagi ia aman, dan mematuhi perisytiharan perlembagaan dan bahagian yang dibenarkan,” kata al-Burhan, sambil menambah orang ramai berhak membuat bantahan secara aman. – Bernama