Sunday, June 30, 2024
27.5 C
Brunei

    -

    Ketua Turus Pertahanan Thailand lawat Kem. Pertahanan

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Kementerian Pertahanan telah menerima lawatan rasmi daripada Ketua Turus Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Thailand, Jeneral Songwit Noonpackdee yang mengadakan lawatan ke Negara Brunei Darussalam dari 19 hingga 21 Jun.

    Sejurus tiba di Bolkiah Garison, Jeneral Songwit Noonpackdee disambut oleh Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan menerima tabik hormat daripada kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Tentera Darat Diraja Brunei.

    Jeneral Songwit Noonpackdee kemudian mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Semasa perjumpaan berkenaan, kedua-dua belah pihak menekankan dan menghargai hubungan pertahanan dua hala yang kukuh dan telah lama terjalin antara Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Thailand serta bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan geopolitik yang mempunyai kepentingan bersama.

    Jeneral Songwit Noonpackdee kemudiannya mengadakan perjumpaan bersama Pemerintah ABDB, di mana kedua-dua pemimpin tentera berkenaan menggariskan kepentingan hubungan kerja yang kukuh dalam memastikan kestabilan dan keselamatan serantau, yang mencerminkan komitmen kedua-dua ABDB dan Angkatan Bersenjata Diraja Thailand.

    Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi (kiri) mengalu-alukan ketibaan Jeneral Songwit Noonpackdee. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Jeneral Songwit Noonpackdee bergambar ramai semasa lawatan baru-baru ini. – GAMBAR OLEH JAMES KON

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China keluarkan amaran merah susulan hujan lebat

    BEIJING, 30 JUN - China telah mengeluarkan amaran tahap merah berikutan hujan lebat yang melanda negara itu, kelmarin. Ia juga memberi amaran tentang kemungkinan bencana...