TOKYO, 29 SEPT – Ketua Unit Permainan Sony, Jim Ryan, akan bersara pada bulan Mac tahun depan, kata firma Jepun itu kelmarin, selepas membawa PlayStation 5 untuk menjadi ‘konsol yang paling berjaya’ bagi firma itu.
Eksekutif British itu menyertai Sony Interactive Entertainment (SIE) pada tahun 1994 dan memegang beberapa jawatan atasan sebelum mengetuai bahagian itu sejak tahun 2019.
“Saya akan pergi dengan penuh rasa hormat kerana dapat bekerja pada produk yang telah menyentuh jutaan orang di seluruh dunia,” katanya yang berusia 63 tahun, dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, dia semakin sukar untuk mengimbangi kehidupan di Eropah dan bekerja di Amerika Utara.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan tersebut, Kenichiro Yoshida, menggelar Ryan sebagai ‘seorang pemimpin yang memberi inspirasi, terutamanya semasa menyelia pelancaran PlayStation 5 ketika pandemik COVID global berlaku.”
PlayStation 5 ‘akan menjadi konsol yang paling berjaya buat SIE’, katanya dalam satu kenyataan.
Saham Sony jatuh 1.45 peratus kelmarin selepas pengumuman itu, walaupun di dalam pasaran yang merosot.
Selepas pelancarannya pada tahun 2020, pengeluaran PlayStation 5 terjejas oleh kekurangan global semikonduktor susulan wabak itu.
Namun, jualan meletup dan menjelang hujung Julai tahun ini, Sony telah menjual sebanyak 40 juta unit. – AFP