Tuesday, February 25, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketua VAR Jerman salah guna kuasa

    BERLIN, 8 Nov – Ketua–ketua bola sepak Jerman mahu untuk menyusun semula pengadilan dalam Bundesliga selepas ketua sistem video bantuan pengadil (VAR) dipecat gara-gara didakwa berat sebelah.

    Sistem VAR sedang diuji musim ini di Itali dan Jerman, mencetuskan banyak perdebatan di kedua-dua negara dengan ramai peminat mengadu ia memperlahankan perlawanan.

    FIFA belum mengesahkan sama ada VAR akan digunakan pada Piala Dunia di Rusia pada tahun depan tetapi sistem tersebut sudah mempamerkan permulaan buruk di Jerman.

    Terdapat perdebatan mengenai bila seharusnya VAR campur tangan dan berapa lama ia diperlukan bagi keputusan itu dikaji semula.

    “Kami memerlukan permulaan yang baru dalam struktur. Fasa percubaan VAR mendedahkan banyak masalah yang sudah lama dan perlu diselesaikan,” kata Reinhard Rauball, presiden bagi Liga Bola Sepak Jerman (DFL) dalam satu kenyataan.

    Para peminat menaikkan kain rentang di venue-venue sekitar Jerman meminta untuk menamatkan uji kaji VAR, tetapi perkara tersebut bertukar teruk pada Ahad lalu.

    Akhbar harian, Bild, mendakwa Hellmut Krug, ketua pusat VAR di Cologne, di mana kesemua babak dalam perlawanan Bundesliga dikaji semula, berat sebelah apabila membuat keputusan untuk membantu Schalke, pasukan yang disokongnya ketika perlawanan berkenaan.

    Pada Isnin lalu, Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) menggantikan Krug sebagai ketua pusat VAR.

    Bagaimanapun, skandal tersebut melemahkan keyakinan terhadap VAR dan mencetuskan perdebatan mengenai impak sistem tersebut ke atas perlawanan lain. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda