Thursday, February 6, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketua VIET ditahan

    HANOI, 1 OKT – Vietnam hari ini mengesahkan penahanan pengarah badan pemikir dasar tenaga, yang merupakan pakar keenam yang bekerja dalam isu alam sekitar yang telah ditahan dalam tempoh dua tahun lalu.

    Sebuah kumpulan hak asasi manusia melaporkan bulan lalu bahawa Ngo Thi To Nhien, pengarah eksekutif Inisiatif Peralihan Tenaga Vietnam (VIET) yang berpangkalan di Hanoi, telah ditahan – walaupun pada masa itu tiada pengesahan rasmi dikeluarkan.

    Nhien ialah seorang penyelidik yang telah bekerja dengan beberapa organisasi antarabangsa, termasuk Bank Dunia, Kesatuan Eropah, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Bank Pembangunan Asia.

    Hari ini, media kerajaan melaporkan bahawa waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Nhien pada 20 September atas tuduhan ‘mengambil dokumen tanpa kebenaran’.

    Mengikut kod jenayah negara, dia boleh menghadapi hukuman penjara sehingga lima tahun.

    “Selepas Ngo Thi To Nhien ditangkap, beberapa agensi media asing dan beberapa organisasi reaksioner yang dibuang negeri telah melaporkan berita itu, memutarbelit dan memfitnah bahawa Vietnam telah menangkap aktivis alam sekitar,” kata jurucakap kerajaan, To An Xo kelmarin, lapor media kerajaan.

    “Berhubung perkara ini, kementerian keselamatan awam menolak tuduhan yang diputarbelitkan di atas dan menganggapnya sebagai tindakan campur tangan dalam hal ehwal dalaman Vietnam.”

    Dua orang lain, Le Duc Anh dan Duong Quoc Viet, turut ditahan atas tuduhan yang sama, kata jurucakap itu. – AFP

    Gambar UCA News
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda