GENEVA, 8 APRIL – Pandemik lain akan berlaku lambat laun dan ia bukan sekadar ‘risiko teori’ tetapi ‘kepastian epidemiologi,’ demikian amaran Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Isnin.
Berucap pada pembukaan Mesyuarat ke-13 Badan Perundingan Antara Kerajaan mengenai Perjanjian Pandemik WHO yang disambung semula, beliau mengulangi akibat buruk wabak COVID-19 di seluruh dunia, dengan memberi peringatan yang ‘pandemik seterusnya tidak akan menunggu sehingga keadaan tenang.’
Menurut Ketua Pengarah WHO itu, kemunculannya ‘bukan risiko teori tetapi adalah kepastian epidemiologi.’
Beliau mengulangi bahawa pandemik lain ‘boleh berlaku dalam 20 tahun atau lebih atau ia boleh berlaku esok.
“Tetapi ia akan berlaku dan walau apa pun, kita mesti bersedia,” tegas Tedros.

“Awda menyaksikan apa yang dilakukan oleh pandemik COVID-19. Secara rasmi 7 juta orang maut, tetapi kami menganggarkan jumlah sebenar ialah 20 juta orang. Di samping kos kemanusiaan, pandemik melenyapkan lebih AS$10 trilion daripada ekonomi global,” katanya.
Beliau melahirkan harapan agar persefahaman bersama dapat dicapai semasa perbincangan mengenai Perjanjian Pandemik WHO.
Beliau memberi jaminan yang ‘perjanjian ini sama sekali tidak akan melanggar kedaulatan mana-mana negara anggota. Malah, ia akan memperkukuh kedaulatan negara dan tindakan antarabangsa.’
Darurat kesihatan awam yang menjadi perhatian antarabangsa akibat COVID-19 berkuat kuasa dari akhir Januari 2020 hingga 5 Mei 2023.
Menurut WHO, sehingga 23 Mac 2025, 777,684,506 jangkitan koronavirus direkodkan di seluruh dunia dengan 7,092,720 kematian. – Bernama