MOSCOW, 18 MAC – Amerika Syarikat (AS) perlu mempertimbangkan semula keputusan untuk menghentikan pembiayaan kesihatan global demi keselamatannya sendiri, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus.
“Kami merayu AS untuk mempertimbangkan semula sokongannya terhadap kesihatan global, kerana ia bukan sahaja menyelamatkan nyawa di seluruh dunia, tetapi juga menjadikan AS lebih selamat dengan mencegah wabak daripada merebak secara antarabangsa.
“Selain itu, kerana kesihatan adalah kekayaan, usaha memerangi penyakit di seluruh dunia turut menyokong pertumbuhan ekonomi global dan kestabilan, yang memberi manfaat kepada AS,” katanya dalam satu taklimat kelmarin, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Beliau menegaskan bahawa penamatan Pelan Kecemasan Presiden AS untuk Bantuan AIDS (PEPFAR) telah menyebabkan gangguan serta merta terhadap perkhidmatan rawatan HIV di lebih 50 negara.
“Penghentian program HIV boleh memusnahkan kemajuan 20 tahun, membawa kepada lebih 10 juta kes baharu HIV dan 3 juta kematian berkaitan HIV lebih tiga kali ganda jumlah kematian tahun lalu,” katanya.
Selain itu, dalam tempoh dua dekad yang lalu, AS telah menjadi penyumbang dua hala terbesar dalam usaha memerangi malaria, membantu mencegah 2.2 bilion kes serta menyelamatkan 12.7 juta nyawa.
Ghebreyesus memberi amaran bahawa jika gangguan pembiayaan berterusan, dunia boleh menyaksikan tambahan 15 juta kes malaria dan 107,000 kematian hanya dalam tahun ini.
Pada Januari lalu, Presiden AS, Donald Trump, menandatangani perintah eksekutif bagi menarik AS keluar daripada WHO. – Bernama
