Monday, October 28, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketua WHO: Situasi di utara Gaza amat kritikal

    GENEVA, 27 OKT – Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus kelmarin memberikan amaran mengenai keadaan kritikal di utara Gaza yang dilanda konflik, di mana operasi ketenteraan intensif berlaku di kawasan sekitar dan dalam kemudahan kesihatan.

    Menurut Dr Tedros, situasi di Gaza utara adalah ‘kritikal’, di mana kekurangan bekalan perubatan yang teruk, ditambah dengan akses yang sangat terhad, menyebabkan ramai tidak dapat menerima rawatan yang diperlukan.

    Beliau turut menekankan hospital Kamal Adwan, satu-satunya hospital yang masih berfungsi di kawasan utara Gaza, yang menurut Kementerian Kesihatan Gaza, diserbu oleh tentera Israel pada Jumaat lalu.

    Menurut laporan daripada kementerian tersebut, serangan di hospital yang terletak di kem Jabalia itu membunuh dua kanak-kanak. Kementerian itu juga mendakwa tentera Israel menahan ratusan kakitangan, pesakit dan orang yang dipindahkan ketika serbuan itu.

    Tentera Israel menyatakan bahawa operasi mereka dijalankan di sekitar hospital Kamal Adwan tetapi mereka tidak menyedari sebarang tembakan atau serangan berlaku di kawasan hospital.

    Dr Tedros melaporkan Kementerian Kesihatan Gaza telah memaklumkan kepada WHO bahawa serangan telah berakhir, walaupun organisasi itu terputus hubungan dengan kakitangannya di hospital tersebut buat sementara waktu.

    “Namun, kepungan ini membawa kos yang besar,” katanya.

    Menurut WHO, tiga kakitangan kesihatan dan seorang lagi pekerja cedera dalam serangan tersebut dan 44 kakitangan lelaki turut ditahan.

    Hospital tersebut kini berfungsi dengan hanya kakitangan wanita, seorang pengarah hospital dan seorang doktor lelaki, yang terpaksa mengurus kira-kira 200 pesakit yang memerlukan rawatan segera. – AFP

    Rakyat Palestin yang cedera menerima rawatan di Hospital Kamal Adwan di Beit Lahia di utara Semenanjung Gaza pada 26 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda