Ketua WTO bersara sertai PepsiCo

GENEVA, 20 OGOS – Ketua Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang bersara, yang akan meninggalkan institusi setahun lebih awal, akan berpindah ke sektor swasta sebagai ketua eksekutif di PepsiCo, kata syarikat hari ini.

Roberto Azevedo, yang akan meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah WTO pada 31 Ogos selepas tujuh tahun menerajui tampuk pentadbiran, akan menjadi naib presiden eksekutif dan ketua pegawai hal ehwal korporat di PepsiCo, kata syarikat minuman ringan dan snek AS dalam satu kenyataan.

Syarikat itu berkata peranan tersebut telah diwujudkan untuk diplomat Brazil yang akan berusaha untuk ‘memantapkan usaha penglibatan luar PepsiCo bersama pihak berkuasa negara dan antarabangsa, pengawal, pertubuhan antarabangsa serta stakeholder bukan kerajaan.’

Ketua PepsiCo Ramon Laguarta berkata Azevedo akan membawa ‘kemahiran politik dan pengetahuan teknikal yang bernilai mengenai persekitaran sosial, politik dan peraturan’ yang memberi kesan kepada syarikat.

Ketua WTO itu, yang menerima pendidikan sebagai jurutera, berkata dalam kenyataan bahawa beliau ‘berasa gembira untuk menyertai PepsiCo pada masa apabila pengukuhan hubungan di antara perniagaan, kerajaan dan masyarakat menjadi penting untuk menjana pertumbuhan mampan.’

Azevedo, yang membuat pengumuman mengejutkan pada Mei bahawa beliau akan mengakhiri penggal kedua WTO 12 bulan lebih awal atas ‘sebab-sebab peribadi’, akan meninggalkan pertubuhan perniagaan yang dibelenggu pelbagai krisis. – AFP