KETUMBAR adalah herba yang banyak digunakan dalam masakan sama ada dalam bentuk daun atau bentuk biji.
Dikenali dengan nama saintifiknya Coriandrum Sativum L, herba ini kelihatan hampir sama dengan daun parsli. Bau antara herba ini yang membezakan kedua-duanya.
Daun ketumbar boleh dimakan begitu sahaja. Manakala biji ketumbar kerap digunakan sebagai rempah dalam masakan India, Asia dan Mediterranean.
Biji ketumbar memiliki rasa masam apabila dihancurkan. Ia mengandungi pinene dan terpenes linalool.
Herba ini mengandungi sumber terbaik mangan, besi, magnesium dan serat pemakanan.

Manakala daun ketumbar pula kaya dengan vitamin C, vitamin K dan protein. Ia turut mengandungi sejumlah kecil fosforus, tiamina, kalium, kalsium, karotena dan niasin.
Terdapat juga tujuh bahan minyak pati dalam ketumbar, enam jenis asid (termasuklah asid askorbik atau lebih dikenali dengan nama vitamin C), mineral dan vitamin.
Kurangkan bengkak
Cineole, satu daripada 11 bahan dalam minyak pati dan asid linoleik yang terdapat dalam ketumbar memiliki sifat-sifat antireumatik dan antiartritis.
Pengambilannya dikatakan mampu membantu mengurangkan pembengkakan yang disebabkan oleh reumatik dan artritis.
Legakan penyakit kulit
Sifat-sifat disinfektan, penyahtoksikan, antiseptik, antikulat dan antioksidan amat sesuai untuk membersihkan masalah kulit seperti ekzema, kekeringan dan jangkitan kulat.
Rendahkan kolesterol
Sesetengah asid yang terdapat dalam ketumbar seperti asid linoleik, asid oleik, asid palmitik, asid stearik dan asid askorbik (vitamin D) amat berkesan dalam mengurangkan tahap kolesterol dalam darah.
Legakan cirit-birit
Sesetengah bahan dalam minyak pati yang terdapat dalam ketumbar seperti Borneol dan Linalool, dikatakan mampu untuk membantu dalam pencernaan, membantu fungsi hati dan usus dengan baik.
Ia juga mampu membantu dalam menyembuhkan cirit-birit yang disebabkan oleh mikrob dan kulat kerana bahan-bahan seperti cineole, borneol, limonene, alpha-pinene dan beta-phelandrene dalam ketumbar memiliki kesan antibakteria.
Mencegah loya
Ketumbar semakin popular dalam mencegah loya, rasa ingin muntah dan masalah dalam perut lain.
Pembuka selera
Daun ketumbar segar dikatakan amat baik dimakan sebagai pembuka selera dan menyediakan usus untuk kemasukan makanan yang banyak.


Mengurangkan tekanan darah
Dikatakan pengambilan ketumbar mampu mengurangkan tekanan darah mereka yang menderita masalah hipertensi.
Tinggi kandungan besi
Mereka yang mengalami masalah anemia dikatakan boleh makan ketumbar kerana kandungan besi yang terdapat di dalamnya amat banyak.
Kurangkan nafas berbau
Dikatakan sebelum ubat gigi tercipta, orang zaman dahulu mengunyah biji ketumbar untuk mengurangkan nafas berbau.
Bahan antimikrob dan penyembuhan yang terdapat dalam ketumbar juga mampu membantu mengurangkan ulser dalam mulut. Apabila ulser sembuh, ia mampu menyegarkan nafas.
Pilihan alternatif kurangkan alahan
Terdapat pelbagai kajian menunjukkan bahawa ketumbar memiliki sifat antihistamina yang mampu mengurangkan rasa tidak selesa kesan alahan bermusim dan rinitis.
Minyak ketumbar juga dikatakan boleh digunakan untuk mengurangkan tindak balas alahan berikutan tersentuh dengan tanaman, serangga dan bahan lain yang menyebabkan tindak balas alahan pada kulit apabila tersentuh atau dimakan.
Lindungi daripada jangkitan saluran kencing
Pengambilan ketumbar juga dikatakan mampu membantu dan melindungi tubuh menentang jangkitan saluran kencing. Semua masalah kesihatan ini banyak dialami oleh wanita.
Rendahkan tahap gula dalam darah
Ketumbar dikatakan juga amat baik untuk pesakit diabetes. Ia dikatakan mampu untuk membantu merendahkan tahap gula dalam darah. Ia juga dikatakan boleh merangsang perembesan insulin.