KENINGAU – Mata lelaki berketinggian sederhana ini merenung tajam kain baldu berwarna hitam yang direntangkannya di atas meja.
Setelah yakin dengan ukuran, Mohd Azrul Fildza Abdullah, 41, dengan penuh teliti memotong kain mengikut saiz ditetapkan pada nota buku kecilnya itu.
Sebaik selesai, beberapa helaian renda berwarna merah dan kuning dijahit tangan pada bahagian tertentu baju.
Sedikit pun tidak kekok, malah jari-jemari lelaki berketurunan suku kaum Kadazan ini begitu mahir bermain teknik jahitan sehingga menyerlahkan lagi kekemasan dan kreativiti tersendiri busana berona hitam itu.
“Sekarang ini agak sibuk kerana menyiapkan tempahan baju tradisi Sabah sempena pesta Kaamatan. Tempahan diterima sejak bulan April hingga pertengahan Mei.


“Sekarang ini, kami sudah tidak lagi menerima tempahan kerana jahitan baju ini memerlukan ketelitian tinggi.
“Ini kerana, ada baju tradisi suku kaum tertentu agak sukar membuatnya dan mengambil masa dua atau tiga bulan hanya untuk siapkan sehelai baju,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kedainya di Pekan Keningau, kira-kira 200 kilometer dari bandar Kota Kinabalu.
Sempena Pesta Kaamatan
Biarpun agak jauh dari bandar dan mengambil masa kira-kira tiga jam perjalanan ke pekan ini, Azma Trading, gabungan nama kedai milik lelaki ini bersama isterinya, Fatma Zainal, 36, menjadi antara pilihan utama masyarakat Sabah mendapatkan busana tradisi sempena pesta Kaamatan.
Disambut sebagai antara satu perayaan penting di Sabah bagi mengiktiraf budaya tradisi masyarakat suku kaum Kadazandusun, Murut dan Rungus, pesta Kaamatan adalah perayaan khas untuk menghormati semangat padi.
Ia diraikan selepas selesai menuai padi, turut dikenali sebagai Tadau Kaamatan atau ‘Magavau’ dalam bahasa Kadazan, disambut sepanjang bulan Mei di mana seluruh daerah di Sabah akan mengadakan pesta ini di tempat masing-masing terlebih dahulu.
Kemuncaknya, adalah pada 30 dan 31 Mei yang lalu di mana setiap daripada mereka akan menggayakan busana tradisional mengikut suku kaum masing-masing dan berkumpul di dewan Hongkod Koisaan Kadazandusun Cultural Association (KDCA).
“Pelanggan saya bukan hanya sekitar Sabah tetapi juga semenanjung dan masyarakat negeri ini yang menetap di luar negara. Ada beberapa pelanggan kami yang bekerja di luar negara seperti Jepun, Australia memesan baju tradisi dengan kami melalui Facebook dan Instagram (azmatrading) untuk mereka menggayakannya di sana.
“Kalau baju Kadazan Penampang atau juga dikenali sinombiaka, kami boleh siapkan tiga hingga lima pasang sehari kerana ia tidak susah.
Hanya jahit renda warna emas dan merah pada baju. Tetapi, baju Dusun Tindal Kota Belud ambil masa dua-tiga bulan kerana melibatkan sulaman motif,” kata Mohd Azrul Fildza.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata baju tradisi Dusun Tindal Kota Belud lebih ‘meriah rekaannya’ kerana hampir keseluruhan besar busana itu dihiasi dengan labuci berwarna merah, kuning dan butang berwarna emas pada baju.
Selain itu, motif berbentuk ubi kayu yang dikenali sebagai ‘linangkit’ akan disulam di lengan kiri dan kanan busana tradisi ini dan itu antara sebab mengapa ia perlu ditempah lebih awal.
Salah faham
Kebanyakan busana tradisi di Sabah berwarna hitam kerana dipercayai lambang kekuasaan atau warna ketuhanan yang dapat melindungi si pemakai daripada makhluk halus yang jahat.
Manakala, ada sesetengah pihak mengatakan bahawa penggunaan warna hitam adalah disesuaikan dengan cara hidup dan keadaan semula jadi pada zaman itu.
Disebabkan itu, bapa kepada lima orang anak ini berkata ada yang beranggapan busana tradisional berona hitam ini hanya digayakan oleh suku kaum Kadazan dan Dusun sahaja kerana ia sinonim dipakai mereka ketika pesta Kaamatan.
Malah, ada juga yang mempunyai persepsi bahawa motif pada setiap pakaian itu adalah sama. Walhal, negeri Sabah yang mempunyai lebih daripada 30 suku kaum ini sebenarnya sangat kaya dengan keunikan budaya dan warisan tersendiri termasuklah dari segi pakaian tradisional.
“Setiap daripada suku kaum ini mempunyai pakaian tradisi tersendiri yang melambangkan identiti mereka. Ia berbeza antara satu sama lain, bergantung daerah dan suku kaum mana.
“Ramai keliru kerana kebanyakan baju tradisi suku kaum di Sabah berwarna hitam.


“Sebenarnya, persamaan setiap baju tradisi Sabah hanyalah tiga benda sahaja iaitu fabrik hitam, renda merah dan emas. Yang membezakannya, terletak pada motif, penggunaan bahan seperti manik dan labuci serta potongan baju,” katanya.
Sering terjadi dalam kalangan generasi muda di Sabah kerana tidak tahu asal usul sejarah baju ini, beliau mengambil inisiatif menanyakan pelanggan terlebih dahulu baju suku kaum mana yang ingin dibeli mereka supaya tidak berlaku kesilapan.
Ini kerana, suku kaum Kadazan, Dusun dan Murut yang menyambut pesta Kaamatan pun terbahagi kepada banyak cabang sub etnik. Misalnya, pakaian tradisi Dusun Lotud di daerah Tuaran adalah berbeza dengan Dusun Liwan di Tambunan.
Ingin buka kilang
Busana tradisional hasilan suami isteri ini amat kemas dan mungkin ada tidak menyangka bahawa mereka sebelum ini langsung tidak pandai menjahit.
Namun, semangat Fatma untuk belajar menjahit di Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kluang, Johor semasa mengikuti suaminya berkhidmat sebagai tentera di sana, banyak membantu meningkatkan pendapatan mereka.
Purata hasil pendapatan Azma Trading adalah sekitar RM10,000 hingga RM11,000 sebulan.
Malah, ia meningkat sehingga RM18,000 ketika pesta Kaamatan atau semasa menyertai mana-mana pameran anjuran Kraftangan Malaysia.
“Isteri saya belajar menjahit pada tahun 2010 sehingga 2012 kerana ingin buat baju kurung untuk kami sekeluarga.
Tidak sangka pula ada yang ingin tempah dan kebetulan ada seorang cikgu tadika minta isteri saya jahitkan baju tradisi Sabah untuk persembahan.
“Dia memang tidak pandai tetapi cikgu itu tetap minta tolong. Nasib baik, isteri ada baju Kadazan miliknya yang dipakai ketika majlis tentera. Selepas diteliti, ia sebenarnya seperti baju kebaya.
“Dia berjaya menyiapkannya dan baju itu menjadi buah mulut ramai dan kami mula mendapat tempahan. Sejak itu, kami fokus baju tradisi Sabah dan pada masa sama saya juga belajar menjahitnya,” katanya yang membuka kedai di Pekan Keningau pada 2015 selepas diarahkan berpindah ke Sabah pada 2014.
Hanya tinggal setahun setengah perkhidmatan, Mohd Azrul Fildza berkata beliau dan isterinya ada mempunyai perancangan untuk menjual secara borong selepas bersara nanti.
“Ketika ini, hanya isteri saya yang ada setiap masa di kedai. Saya hanya menjahit pada hari minggu kerana tidak mahu ganggu waktu kerja. Selepas ini, saya akan besarkan lagi perniagaan ini dengan melantik ejen,” katanya. – Bernama