Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keunikan biskut ambulung raih sambutan menggalakan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Gambar oleh Muiz Matdani

    Bak kata peribahasa Melayu, ‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, begitulah semangat yang ditampilkan oleh sebilangan penduduk Kampung Batu Apoi dalam meniti usaha memajukan pelbagai produk tempatan menerusi program Satu Kampung Satu Produk (1K1P) mereka dari semasa ke semasa.

    Setibanya penulis dan rakan Media Permata di Kampung Batu Apoi, yang terletak kira-kira 5 kilometer dari Pekan Bangar, di daerah yang terkenal dengan julukan ‘Permata Hijau Brunei’ itu sememangnya jelas membuktikan bahawa semangat juang mereka dalam menghasilkan sesuatu produk dari sumber alam yang sedia ada di kampung berkenaan sehingga mencetus kepada bidang keusahawanan dan sekali gus meningkatkan sektor pelancongan.

    Dari pohon rumbia

    Salah satu produk yang dihasilkan oleh penduduk menerusi Majlis Perundingan Kampung (MPK) Batu Apoi, Mukim Batu Apoi ialah sagu atau dikenali sebagai ambulung iaitu sejenis tepung kanji yang diperoleh daripada batang pokok rumbia.

    Dengan adanya sumber semula jadi di sekitar kawasan Sungai Batu Apoi yang diliputi oleh pokok-pokok rumbia itu telah mencetus ilham sebilangan penduduk kampung berkenaan untuk memanfaatkannya dengan mengusahakan pemprosesan pembuatan ambulung meski pun secara kecil-kecilan.

    Perusahaan pemprosesan ambulung yang dijalankan di Pondok Ambulong yang letaknya di tebing sungai kampung berkenaan mula dijalankan sekitar penghujung tahun 2008 menggunakan gabungan teknik tradisional dan juga moden. Bermula dari proses penebangan pohon-pohon rumbia yang terpilih dan diikuti pula dengan langkah memotong pohon rumbia kepada potongan-potongan kecil untuk diproses dalam mesin pengisar sehinggalah kepada proses penapisan, pengeringan dan pembungkusan sebelum dijual kepada orang ramai meliputi kedai-kedai runcit dan pasar raya terutamanya di Daerah Temburong dan juga bergantung kepada tempahan yang diterima.

    Salah satu produk yang dihasilkan oleh penduduk menerusi Majlis Perundingan Kampung (MPK) Batu Apoi, Mukim Batu Apoi ialah sagu atau dikenali sebagai ambulung menerusi program Satu Kampung Satu Produk (1K1P) mereka sejak tahun 2008 lagi.

    Biskut ambulung beraneka rasa merupakan salah satu produk hiliran ambulung yang diketengahkan oleh ahli Biro Wanita MPK Batu Apoi dengan hasrat ke arah meningkatkan lagi penghasilan produk di bawah 1K1P tanpa hanya bergantung pada pemprosesan ambulung sepenuhnya.
    Bermula dari proses penebangan pohon-pohon rumbia yang terpilih dan diikuti pula dengan langkah memotong pohon rumbia kepada potongan-potongan kecil untuk diproses dalam mesin pengisar sehinggalah kepada proses penapisan, pengeringan dan pembungkusan.

    Beraneka rasa biskut ambulung

    Dengan hasrat ke arah meningkatkan lagi penghasilan produk di bawah 1K1P, ahli Biro Wanita MPK Batu Apoi juga telah mengambil inisiatif dengan penuh keyakinan menghasilkan variasi produk yang sememangnya mempunyai nilai keistimewaan yang tersendiri tanpa hanya bergantung pada pemprosesan ambulung sepenuhnya.

    Salah satunya ialah biskut yang diperbuat daripada ambulung.

    Kepelbagaian produk kampung yang dihasilkan oleh penduduk kampung itu sendiri dengan tidak hanya bergantung pada satu produk saja akan dapat meningkatkan perekonomian kampung berkenaan. Malah pada masa yang sama, perusahaan itu juga dapat menambahkan pendapatan bagi ahli-ahli biro wanita yang tidak bekerja, selain bagi mengisi masa lapang mereka serta untuk menambahkan pendapatan bagi menyara kehidupan seharian.

    Mengenai dengan proses pembuatan biskut berkenaan, salah seorang ahli biro wanita MPK berkenaan menjelaskan ambulung yang telah diproses itu pada mulanya diperoleh dan dibeli daripada perusahaan MPK Batu Apoi yang mengusahakan pemprosesan ambulung tersebut. Kemudian ia dijemur terlebih dahulu sebelum ia diayak dan dijadikan bahan asas untuk menghasilkan biskut ambulung yang beraneka rasa. Antaranya biskut ambulung biasa, Oreo, keju, Ovomaltine dan sebagainya.

    Manakala dari segi tempahan pula begitu memberangsangkan di mana tempahan bukan saja diterima dari dalam daerah malahan juga dari luar daerah seperti bagi majlis-majlis perkahwinan, pertunangan dan sebagainya.

    Dengan adanya pelbagai produk yang diketengahkan oleh ahli-ahli MPK berkenaan, besarlah harapan mereka agar memperoleh sambutan yang menggalakkan dalam kalangan masyarakat di mana mereka berpijak ini sehingga membuka peluang untuk mengeksport ke luar negara.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda