GRAND RAPIDS – Ramai pengunjung membanjiri kawasan taman botani untuk melihat secara lebih dekat spesies ‘bunga mayat’ yang dipercayai hanya berkembang sekali dalam tempoh 18 tahun dan memiliki bau yang kurang menyenangkan.
Amorphophallus titanium yang turut dikenali sebagai ‘bunga mayat’ mula berkembang baru-baru ini di Taman Frederik Meijer di Grand Rapids.
Pihak pengurusan telah memberikan nama gelaran ‘Putricia’ kepada spesies bunga tersebut berikutan daripada baunya yang kurang menyenangkan di mana ia turut dibandingkan dengan bau daging yang membusuk.
Kali terakhir bunga itu berkembang pada tahun 2000.
“Bau kurang menyenangkan jelas terhidu di ruang kawasan taman tersebut sekali gus turut mengundang ramai pengunjung untuk menyaksikannya sendiri secara lebih dekat,” jelas Pengarah Taman Hortikultur, Steve LaWarre.

Kebanyakan pengunjung telah menjelaskan bahawa bau bunga tersebut hampir menyerupai dengan bau bangkai tikus.
“Bunga mayat ini memiliki struktur yang cukup besar iaitu boleh mencapai pada paras 1.4 meter yang kerap ditemui di Indonesia dan Sumatera,” jelas Pengurus Taman Hortikultur, Wendy Overbeck.
“Spesies bunga berwarna merah gelap ini dipercayai dapat menarik polinator terutama pada waktu ia berkembang mekar,” jelas Overbeck.
“Proses perkembangan ini setentunya merupakan satu perkara yang cukup menarik malah ramai kalangan pengunjung juga teruja untuk menghidu sendiri keunikan baunya walaupun busuk.
Ia merupakan satu pengalaman yang cukup berharga,” jelas LaWarre.
Walaupun 18 tahun menunggu untuk ia berkembang namun bunga itu hanya mekar selama beberapa hari. – AP