Oleh Ampuan Irma Susanti Binti Ampuan Hussain
TEMBURONG, 30 Mac – Daerah Temburong yang memiliki keunikan alam flora dan faunanya serta kehijauan hutan hujan tropikanya, telah menjadi tumpuan pengunjung tempatan dalam cuti penggal persekolahan kali ini.
Daerah ini menerima ramai pengunjung tempatan yang terdiri dari pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan, termasuk kira-kira 50 orang guru, kakitangan dan penuntut Sekolah Menengah Awang Semaun (SMAS) yang telah membuat lawatan sambil belajar ke beberapa tempat di daerah ini, baru-baru ini.
Antara tempat yang dikunjungi rombongan berkenaan termasuk Tapak Sejarah Industri Getah Labu Estet, Taman Rekreasi Hutan Bukit Patoi dan Pondok Riadah dan Memancing Kampung Belais dan Buda-buda. Pengetua sekolah tersebut, Dayang Siti Marienah binti Haji Umar yang mengetuai rombongan tersebut ketika ditemu bual menyatakan, pihaknya membuat lawatan berkenaan sebagai aktiviti tahunan sekolah di samping melihat sendiri keunikan yang terdapat di Daerah Temburong termasuk produk-produk terkenal seperti udang galah, wajid jawa dan telur masin.
Lawatan berakhir di Pondok Riadah dan Memancing Belais dan Buda-buda, untuk melihat perkembangan tempat tersebut sambil menyaksikan demonstrasi pembuatan kuih-muih tempatan seperti Penyaram dan Cucur Kulat Tiram.
