Monday, May 5, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keunikan dan manfaat buah markisa

    MARKISA adalah sejenis buah yang tergolong dalam keluarga Passiflora.

    Buah ini dikatakan berasal dari Amerika Selatan dan secara spesifiknya dari Brazil.

    Rasanya yang masam manis sangat enak dan menyegarkan jika dimakan.

    Justeru itu, tidak hairan jika buah itu digunakan sebagai bahan utama dalam pembuatan jus.

    Ia dikenali sebagai buah susu di Nusantara dan passion fruit di seluruh dunia, buah markisa berbentuk bulat dan mempunyai biji hitam berselaput kuning yang boleh dimakan.

    Terdapat pelbagai variasi buah markisa.

    Bagi tujuan komersial hanya terdapat dua jenis variasi di pasaran iaitu buah markisa ungu (Passiflora edulis L) dan buah markisa kuning (Passiflora edulis f. Flavicarpa).

    Buah markisa ungu mempunyai saiz sebesar telur dan memiliki kulit berwarna ungu kecoklatan.

    Manakala buah markisa kuning bersaiz sedikit besar seperti buah oren dan memiliki kulit berwarna kuning.

    Persamaan kedua-duanya adalah memiliki isi bertekstur seperti jeli dan biji hitam kecil.

    Penenang semula jadi

    Pilih buahnya yang bersaiz besar, berat dan padat jika mahu membeli buah markisa. Apabila buah markisa telah matang, ia berkedut dan kulitnya berwarna ungu.

    Walaupun kulitnya nampak tidak cantik tetapi itu tidak bermakna buahnya telah rosak.

    Buah markisa berwarna hijau apabila ia belum matang dan akan bertukar menjadi warna ungu, merah atau kuning apabila ia semakin masak dan matang.

    Ia juga mengandungi lebih kurang 40 peratus hingga 50 peratus jus semula jadi.

    Namun begitu buah ini memiliki sedikit kesan laksatif (penjulap) dan diuretik.

    Memakan buah markisa sepanjang hari dikatakan dapat membantu menyelesaikan masalah berkaitan usus atau buah pinggang untuk jangka masa yang lama. – Gambar hiasan
    Amalan pemakanan buah tersebut bersama bijinya dikatakan mampu membuatkan tidur menjadi lena. – Gambar hiasan

    Oleh itu, ada juga yang mengatakan jika memakan buah markisa sepanjang hari mampu untuk membantu menyelesaikan masalah berkaitan usus atau buah pinggang untuk jangka masa yang lama.

    Di negara asal buah ini iaitu di Amerika Selatan dan Afrika, penduduknya dikatakan menggunakan jus buah markisa sebagai analgesia (penenang) semula jadi dan agen antimikrob.

    Malah buah markisa yang telah dikeringkan juga dikatakan mesti ada di setiap rumah di negara-negara tersebut.

    Selepas memakan buah ini berserta dengan bijinya dikatakan boleh membuatkan anda tidur selama enam hingga lapan jam.

    Justeru itu, penduduk Amerika Selatan memakan buah itu bagi membantu mereka tidur dengan lebih baik. Tetapi jusnya pula sebaliknya kerana ia memiliki kesan tonik yang kuat.

    Kaya mineral tinggi vitamin

    Pelbagai cara boleh digunakan untuk mendapatkan keenakan buah markisa. Ada yang mengisarnya untuk dijadikan jus dan ada juga yang memakannya begitu sahaja.

    Buah yang sedap itu kaya dengan sumber antioksidan, mineral, vitamin dan serat yang mana 100 gram buah itu mengandungi lebih kurang 97 kalori.

    Pengambilan buah markisa disarankan kepada ibu hamil kerana ia dikatakan mampu mencegah kecacatan pada otak
    anak yang dikandungkan. – Gambar hiasan

    Sekiranya memakan buah itu berserta dengan bijinya juga dikatakan dapat memberikan kebaikan zat yang lebih banyak.

    Secawan buah markisa yang masih ada isi dan biji dikatakan mengandungi 24.5 gram serat.

    Di samping itu, buah markisa juga dikatakan mengandungi 13 jenis karotenoid berbeza yang dapat membantu menghasilkan vitamin A yang baik untuk penglihatan.

    Karoktenoid adalah sejenis lemak mudah larut yang memudahkan penyerapan vitamin A.

    Buah markisa kaya dengan sumber nonheme atau zat besi berasaskan tumbuhan. Wanita dikatakan perlu mengambil 8.1 micrograma besi setiap hari.

    Secawan buah markisa mampu menyediakan hampir 4 miligram zat besi.

    Kalium adalah bahagian penting untuk sel-sel dan cecair tubuh dan ia mampu membantu mengatur kadar jantung dan tekanan darah. Justeru itu, isi buah markisa dikatakan memiliki kira-kira 348 kalium.

    Pengambilan buah markisa dikatakan mampu mencegah kecacatan pada anak damit kerana kandungan asid folat pada buah markisa dapat menjadi kelebihan jika diambil oleh ibu hamil bagi mengurangi risiko cacat otak kepada anak yang dikandungkan.

    Selain itu, kandungan asid folat pada buah markisa dikatakan mampu mencegah kolesterol dan juga meningkatkan peredaran darah dalam tubuh. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda