Wednesday, March 19, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keunikan di sebalik grafiti ‘Mooncake’

    Selama beberapa bulan, tiada siapa peduli lukisan mural pada satu sisi Bangunan Hanover Theatre of Performing Arts di Worcester, Massachusetts, Amerika Syarikat (AS).

    Bukan kerana tidak menyerlah, namun di AS, ada puluhan ribu malah mungkin mencecah ratusan ribu seni grafiti dan mural dihasilkan pada dinding bangunan. Namun terdapat satu rahsia mengenai karya dihasilkan pelukis mural dan grafiti berasal dari Greece, Stathis Tsavalias atau lebih dikenali sebagai Insane51 itu.

    Rahsia itu dirungkai sendiri artis berusia 26 tahun itu pada 15 Februari lalu iaitu sehari selepas sambutan Hari Valentine menerusi video di akaun Instagram miliknya. Lukisan mural berkenaan memaparkan tiga karya dalam satu. Bagaimanapun, ia hanya dapat dilihat seandainya menggunakan kaca mata tiga dimensi (3D).

    Melalui karya bertajuk ‘Mooncake’ itu, sesiapa saja yang melalui bangunan itu dapat menyaksikan sepasang kekasih bersentuhan dahi secara intim dengan tengkorak dan tulang pasangan dalam lukisan itu sedikit terlihat di bawah kulit masing-masing. Ilusi magis pada karya bersaiz gergasi itu muncul sebaik mengenakan kaca mata 3D.

    Menerusi kaca warna merah, lukisan lelaki dan wanita itu menjadi rangka manusia yang agak menyeramkan. Melihat mural itu menerusi kaca warna biru pula, rangka pasangan itu hilang dan ‘digantikan’ dengan pasangan kekasih yang bersentuhan dahi dalam suasana penuh beremosi. Selepas ‘pendedahan’ itu, mural berkenaan mula mendapat perhatian ramai.

    Dalam tempoh beberapa hari sahaja, video itu ditonton 75,000 kali di Instagram, manakala di Facebook pula mencecah 20,000 kali.

    Mooncake bukanlah karya pertama atau satu-satunya yang dihasilkan Tsavalias.

    Dia yang pernah menuntut di Athens School of Fine Arts di Greece sudah menghasilkan beberapa karya sedemikian yang digelar ‘Double Exposure 3D’ di seluruh dunia antaranya di Copenhagen, Denmark; North Carolina, AS dan Cyprus. Ada antara karyanya menggunakan watak popular dalam filem antaranya Thanos dan Tony Stark daripada filem The Avengers: Endgame dan Finn serta footsoldier (Star Wars: Episode VII The Force Awakens). – Agensi

    ATAS & BAWAH : Lukisan mural berkenaan memaparkan tiga karya dalam satu. Bagaimanapun, ia hanya dapat dilihat seandainya menggunakan kaca mata tiga dimensi (3D). – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda