Monday, May 5, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keunikan Eco Ponies Garden ukir kenangan terindah

    Oleh Lenna N.B.

    PERJALANAN mengambil masa antara 45 minit hingga satu jam dari ibu negara. Kawasannya terletak jauh dari kawasan sibuk jalan raya, membawa kita menikmati alam semula jadi yang sungguh indah yang dihiasi dengan suara kicauan burung-burung, kumbang terbang sekitar taman dan rama-rama menghinggapi bunga-bunga yang warna-warni seakan alam sedang berinteraksi dengan kita.

    Eco Ponies Garden atau Taman Nilam Sari terletak di Kampung Bang Nukat, Lamunin, Daerah Tutong, tidak jauh dari Stesen Polis Kampung Lamunin. Walaupun baru beroperasi pada bulan September 2016, yang mana telah diusahakan oleh keluarga Eyon Ukoi, 47, sendiri namun sejarah sebalik taman tersebut sudahpun bermula di penghujung tahun 2014 atas rasa kasih sayang kepada ibu yang dicintai.

    Sebuah pondok untuk ibu

    Menurut Eyon, pondok tersebut telah siap dibina pada bulan Disember 2014 yang asalnya dibuat untuk ibunya bagi memudahkan beliau untuk berehat. Namun, tanpa disangka, ia telah menarik ramai pelawat dari dalam dan luar negara.

    “Bila ayah saya meninggal, beliau turut meninggalkan sebidang tanah yang agak luas. Tanah ini pada ketika dahulu dipenuhi dengan sayur-sayuran dan buah-buahan. Walaupun ayah sudah tidak bersama kami, ibu saya masih rajin berkebun. Kebanyakkan kami pada masa itu sudah mempunyai kerjaya dan karier masing-masing. Jadi, yang tinggal di sini hanya ibu dan pembantu rumah sahaja. Oleh kerana rasa kasihan melihat ibu terpaksa ulang-alik berjalan kaki dari rumah setiap kali ke kebun, kami terdo-rong untuk membina sebuah pondok kecil khas untuk ibu. Sekurang-kurangnya, selepas berkebun, dia boleh berehat-rehat di pondok tersebut.”

    Sekitar acara melancarkan pondok yang dibina di Eco Ponies Garden, Cappi Osbourne bersama ibu Eyon Ukoi yang dikongsikan oleh Anne Osbourne dalam web rasminya, www.fruit-powered.com
    Sekitar acara melancarkan pondok yang dibina di Eco Ponies Garden, Cappi Osbourne bersama ibu Eyon Ukoi yang dikongsikan oleh Anne Osbourne dalam web rasminya, www.fruit-powered.com
    Suasana pondok di Eco Ponies Garden
    Suasana pondok di Eco Ponies Garden
    Santai di luar pondok kecil memberikan ruang untuk menghayati pemandangan sekitar taman.
    Santai di luar pondok kecil memberikan ruang untuk menghayati pemandangan sekitar taman.
    Sebuah rumah pokok dibina khas untuk pengunjung berginap dan bersantai.
    Sebuah rumah pokok dibina khas untuk pengunjung berginap dan bersantai.
    Sekitar kebun di Eco Ponies Garden yang dipenuhi dengan tumbuhan-tumbuhan sayur, buah-buahan dan herba.
    Sekitar kebun di Eco Ponies Garden yang dipenuhi dengan tumbuhan-tumbuhan sayur, buah-buahan dan herba.
    Ruang santai atas pondok Eco Ponies Garden turut mengetengahkan konsep ruang tamu terbuka agar pengunjungnya tidak terpisah dengan keindahan alam.
    Ruang santai atas pondok Eco Ponies Garden turut mengetengahkan konsep ruang tamu terbuka agar pengunjungnya tidak
    terpisah dengan keindahan alam.
    Sekitar taman yang dibentuk indah membawa kita ke dunia fantasi jauh dari kesibukkan kota.
    Sekitar taman yang dibentuk indah membawa kita ke dunia fantasi jauh dari kesibukkan kota.
    Eyon Ukoi, 47, pengasas Eco Ponies Garden ketika sedang ditemuramah Media Permata baru-baru ini.
    Eyon Ukoi, 47, pengasas Eco Ponies Garden ketika sedang ditemuramah Media Permata baru-baru ini.
    Pentas kecil menjadi lokasi pementasan dan aktiviti kesenian.
    Pentas kecil menjadi lokasi pementasan dan aktiviti kesenian.
    Pondok Eco Ponies yang asalnya dibina untuk ibu menjadi rumah penginapan pelancong dan pengunjung.
    Pondok Eco Ponies yang asalnya dibina untuk ibu menjadi rumah penginapan pelancong dan pengunjung.

    Mula dikunjungi pelawat

    Pada Mac 2015, pelancong dari Australia berminat untuk menginap dan ingin merasai suasana sekitar kebun, hutan dan perkampungan. Di samping itu, tempat berkenaan juga pernah dilawati oleh 65 orang pelajar dari Sekolah Rendah Rambai dan Sekolah Rendah Sungai Liang. Ia juga turut dikunjungi oleh Anne Osbourne, seorang penulis Inggeris kelahiran Leicester yang agak terkenal dengan artikel-artikel mengenai kehijauan dan alam semulajadi, yang singgah di Eco Ponies Garden bersama anak lelakinya, Cappi Osbourne. Kini nama Eco Ponies kian dikenali dalam kalangan pengembara dari luar negara seluruh dunia, antaranya seperti Jerman, Switzerland, New Zealand, Australia, Greek, India, Arab Saudi, dan tidak kurang juga negara-negara Asia seperti Korea, Jepun, Hongkong, Malaysia, Filipina, Indonesia dan banyak lagi.

    “Eco Ponies Garden telah ditulis oleh Anne Osbourne dalam websitenya www.fruit-powered.com yang menceritakan pengalamannya di taman ini dan hubungan yang erat sesama orang-orang Brunei. Negara Brunei digambarkan begitu indah, dan mungkin atas sebab itu, semakin ramai pengunjung-pengunjung dari luar negara datang ke taman ini.”

    Selain itu, menurut Eyon, Mewsum Wong dari Raw Food Asia sering membawa pelancong mengunjungi Eco Ponies Garden, terutamanya pada waktu musim buah-buahan kerana mereka begitu tertarik dan kagum dengan kebun-kebun yang tanahnya subur dengan bermacam jenis buah-buahan dari negara yang paling kecil di peta dunia.

    “Menariknya, dengan kunjungan pelancong-pelancong ini, mereka pasti meninggalkan sesuatu untuk taman ini. Mereka ikut membina, berkebun, menanam, meninggalkan kata-kata yang penuh inspirasi sekitar taman dan sebagainya dalam mengindahkan lagi pemandangan sekitar taman sehinggalah kami kemudiannya terinspirasi untuk membina ruang tamu yang terbuka, pentas kecil, rumah kayu dan sebagainya. Tanpa mereka, taman ini tidak mungkin seindah yang dilihat pada hari ini,” jelas Eyon.

    Eco Ponies Garden dalam industri pelancongan

    Eco Ponies Garden kemudiannya menyertai Eco Brunei, iaitu sebuah platform online yang berperanan mempromosikan eko-pelancongan tempatan yang dilancarkan dalam bulan Mac 2016.

    Disamping memperkenalkan keindahan khazanah Brunei yang kaya dengan flora dan faunanya, ia juga memperkenalkan hidangan tradisi Brunei dan keunikkan budaya penduduk kampung. Menurut Eyon, pengunjung web Eco Brunei telah mencapai 30,000 orang yang dapat dianggarkan kira-kira 1,000 lebih pengunjung dalam seminggu.

    “Begitulah Eco Ponies Garden kian berkembang di mana di hujung jari sahaja, mereka boleh mengakses maklumat mengenai taman ini dan tempat-tempat lain yang menarik sekitar Brunei. Kami bersyukur dari bermulanya taman ini tidak mempunyai apa-apa, kini kian berkembang dan dikenali.”

    Antara pencapaian yang terbesar adalah apabila Eco Ponies Garden melancarkan projek Eco Kampung dengan kerjasama Astera Consultant yang mengetengahkan peraduan memasak dengan bahan-bahan segar semulajadi, jemputan cef professional dari luar negara dan sebagainya.

    Eco Ponies Garden taman impian

    Dikelilingi dengan kebun buah-buahan, sayur-sayuran dan herba-herba, Eco Ponies Garden walau tidak sehebat hotel lima bintang, namun suasana perkampungannya yang begitu indah dan dekat dengan alam semulajadi mampu membawa kita lari daripada kesibukkan dunia dan berehat untuk menghayati keindahan suasana tersebut. Dari sebuah pondok kecil, perahu yang terayun-ayun di bawah pokok, dapur dan ruang tamu yang terbuka, serta balkoni (tempat kita bersantai-santai), semuanya dibina dengan kayu dan beratapkan zink. Angin yang meniup pada waktu petang menjadi penceria dan dapat menghiburkan hati yang ingin mencari ketenangan.

    “Begitulah yang selalu dirasakan oleh pelancong-pelancong bila menetap di sini. Nama Eco Ponies itu sendiri melambangkan taman ini secara keseluruhannya. Ponies bererti anak-anak kuda melambangkan kuda kecil yang terbang. Ia memperlihatkan jiwa kanak-kanak kita yang selalu bermimpi berada di satu dunia yang lain. Umpamanya taman ini yang membawa kita pergi terbang dari dunia harian yang penuh kesibukan dan tertekan, dan mencipta suatu kenangan indah di taman ini sama ada merapatkan kembali jalinan kekeluargaan, mencari ketenangan sebalik kehijauan dan sebagainya.”

    Eco Ponies Garden kini dibuka untuk kunjungan orang ramai sejak mula beroperasi secara rasminya pada bulan September 2016 sama ada atas tujuan aktiviti keluarga, bersantai-santai, aktiviti membangun diri, kerja-kerja komuniti dan sebagainya. Kadar bermalam dan menggunakan tempat tersebut dapat dirunding bersama pihak Eco Ponies Garden sendiri yang maklumat lanjutnya boleh diperolehi di web www.ecoponiesgarden.com. Di samping itu, mereka juga mempunyai aktiviti khas untuk orang ramai, antaranya adalah aktiviti pembangunan berkumpulan, penyediaan makanan dan masakan, kerja-kerja komuniti, program lawatan yang akan dikendalikan oleh orang kampung dan sebagainya.

    Sehingga hari ini pengunjung Eco Ponies Garden telah mencapai 600 orang dari warga tempatan sejak ia mula dibukakan kepada orang ramai, dan hampir 100 pengunjung dari luar negara. Eco Ponies Garden juga merancang untuk meneruskan mempromosikan budaya Brunei melalui makanan, memperluaskan penglibatan komuniti, menganjurkan tamu jualan sekitar taman untuk memberikan sokongan kepada petani-petani tempatan, membina rumah persinggahan dengan konsep pondok atau rumah kayu dan memperbanyakan hasil tanaman di mana pengunjung atau penginap dapat memetiknya secara terus dalam keadaan segar.

    “Terima kasih kepada Jabatan Daerah Tutong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, MPK Kampung Lamunin, pihak media, komuniti dan warga Brunei yang memberikan sokongan penuh terhadap Taman Eko Ponies ini. Tidak lupa juga kepada Eco Sumbiling Village, Isaac Back To Nature, dan Siti Kaprawi, yang turut sama-sama mendukung serta ahli keluarga yang menjadi tulang belakang terhadap Eco Ponies Garden.”

    Eco Ponies Garden menyimpan khazanah yang sungguh indah yang menjadikan sebuah taman impian di kawasan perkampungan, yang membawa kepada kedamaian dan pengukuhan tali persaudaraan sesama manusia di sebalik suasana kehijauan alam semulajadi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda