Thursday, May 1, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keunikan haruman bunga sedap malam

    POKOK berbunga berbau harum dan wangi sebenarnya adalah sumber untuk industri minyak wangi dan potpuri yang kian popular pada ketika ini.

    Ramai yang berminat untuk menggunakan bunga harum daripada tanaman hiasan sebagai salah satu kaedah terapi untuk menghilangkan tekanan kerja dan sekali gus boleh menyihatkan badan.

    Pada zaman dahulu bunga-bunga wangian yang digunakan oleh kaum bangsawan dan kalangan keluarga diraja untuk mandian demi mewangikan dan menyihatkan badan mereka.

    Walaupun zaman sudah berlalu, namun amalan tersebut tetap masih boleh dihidupkan kembali dan untuk merealisasikannya kita perlu untuk menanam pokok-pokok daripada jenis tersebut.

    Salah satu daripada tumbuhan jenis itu ialah spesies Cestrum nocturnum atau juga dikenali sebagai Cestrum leucocarpum dari keluarga tumbuhan Solanaceae.

    Nama tempatannya pula adalah pokok Bunga Sedap Malam dan kadangkala dipanggil juga sebagai pokok Bunga Harum Sundal Malam.

    Dalam kalangan masyarakat Inggeris, ia dikenali sebagai Night Blooming Jessamine, Queen of the Night dan Santalia.

    Bunganya berbentuk corong kecil berwarna hijau pucat, tumbuh dalam gugusan di hujung rantingnya dan apabila kembang kelopak-kelopaknya akan berbentuk seperti bintang.

    Perkataan ‘nocturnum’ pada nama spesiesnya itu bermaksud malam yang merujuk kepada haruman bunganya yang sangat ketara sekali pada waktu malam.

    Sebagai amalan tradisi, bunga ini diikat pada sanggul wanita India yang bertujuan untuk mencantikkan dan mewangikan.

    Ia adalah sejenis pokok renek sederhana tinggi dan pada asalnya juga merupakan sejenis tumbuhan liar dan dikatakan berasal dari India dan negara-negara tropika di Amerika Selatan.

    Kumpulan Bunga Harum Sedap Malam juga dapat dijadikan sebagai satu gubahan yang indah.
    Keunikan Bunga Harum Sedap Malam adalah apabila keharuman bau bunganya sangat ketara pada waktu malam.

    Pembiakan

    Pada hakikatnya, bunga sedap malam cukup senang untuk dibiakkan dengan menggunakan kaedah keratan batang atau rantingnya yang telah tua atau matang. Mulakan langkah pembiakan dengan mengerat beberapa batang atau rantingnya yang berukuran kira-kira 10 sentimeter panjang.

    Tanam dalam medium tanaman yang bersaliran baik dan kaya dengan bahan organik seperti najis ayam reput dan sebagainya.

    Gunakan campuran tanah untuk pokok berpasu iaitu dalam nisbah 3;2:1 iaitu tanah peroi, bahan organik dan pasir sungai.

    Letak di tempat teduh dan masukkan ke dalam beg plastik bagi mempercepatkan pertumbuhan akarnya.

    Penjagaan

    Siram pokok ini pada waktu pagi dan petang pada hari panas. Siram bila perlu sahaja pada hari hujan jika pokok terus terdedah kepada titisan air hujan.

    Ia perlu untuk didedahkan kepada cahaya matahari yang banyak untuk menggalakkan ia untuk berbunga cantik sepanjang masa.

    Semua jenis baja sama ada baja kimia atau baja organik seperti najis ayam dan sebagainya adalah sesuai untuk pokok ini.

    Idea pameran

    Pokok Bunga Sedap Malam ini juga sesuai untuk ditanam bagi membentuk rumpun untuk pameran bunganya yang cantik dan menarik.

    Spesies ini juga boleh ditanam dalam pasu terutama melalui kaedah mengetut untuk memudahkan ia dipindah selalu bagi tujuan hiasan di pelbagai ruang kediaman. Potong rantingnya untuk membentuk rumpun yang lebih padat dan kemas. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda