Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keunikan hidangan Brunei tambat hati pengunjung luar negara

    Oleh Nurdiyanah R.

    TAK kenal maka tak cinta, itulah ungkapan yang pantas digambarkan bagi insan-insan berjiwa penggembara budaya ini setelah mencapai misi mereka menerokai keunikan hidangan tempatan di bumi Negara Brunei Darussalam yang memiliki keistimewaan yang tersendiri.

    Baru-baru ini, wartawan Minda bersama rakan wartawan media tempatan dari Borneo Bulletin dan juga media asing, telah berkesempatan untuk menjejaki detik-detik perjalanan mereka di negara ini untuk sama-sama menjayakan salah sebuah projek penggambaran dokumentari iaitu ‘Taste Buds’.

    Penerokaan hidangan di negara ini telah melakar kenangan yang terlalu indah untuk disemat di dalam minda dan jiwa. Meski berbeza agama dan bangsa, namun ikatan persahabatan bagaikan pancaran bintang yang bergemerlapan kerana ia akan sentiasa bersinar di hati walau terpisahkan dengan jarak dan waktu.

    “Berbicara mengenai hidangan Brunei, apa yang terlintas di minda saya ialah Ambuyat. Oleh itu, kami sememangnya sangat teruja untuk menantikan saat-saat ini untuk menerokai serta menikmati secara langsung pelbagai hidangan di negara ini yang terlihat memiliki keunikan budaya meliputi makanan mahu pun masyarakatnya,” itulah antara kata-kata yang disampaikan oleh Penerbit Multimedia Kanan (Senior Multimedia Producer), Syarikat China Daily, Hong Kong, Fernandes Nastasha Vera yang telah menjalankan siri penggambaran hidangan istimewa Brunei bersama Penolong Penerbit (Co-Producer), Syarikat China Daily, Joyce Siu di negara ini, baru-baru ini.

    Bersama menerokai sumber alam

    Indahnya sebuah destinasi penggambaran apabila kami berpeluang untuk menjejakkan kaki ke kawasan pedalaman yang masih terserlah persekitarannya dengan tumbuhan hijau. Kawasan yang dipenuhi dengan suasana ketenangan dan jauh daripada kesibukan bandar pada jarak sekitar 30 kilometer dari Pekan Tutong, itulah Mukim Ukong, iaitu salah satu daripada lapan mukim di Daerah Tutong.

    Antara produk yang dihasilkan oleh penduduk mukim ini ialah sagu atau dikenali sebagai ambulung yang merupakan bahan utama dalam pembuatan hidangan ambuyat iaitu salah satu makanan tradisional masyarakat Brunei sejak dahulu lagi yang mana ia merupakan sejenis tepung kanji yang diperoleh daripada batang pokok rumbia. Lazimnya pokok-pokok tersebut tumbuh di kawasan campuran tanah paya dan tanah liat.

    Gambar kenangan semasa dua wartawan tempatan iaitu Media Permata dan Borneo Bulletin, Awang Aziz (kiri) menyertai siri penggambaran dokumentari ‘Taste Buds’ bertempat di Kilang Sagu, Kampung Ukong, Daerah Tutong yang diungkayahkan oleh Penerbit Multimedia Kanan, Natasha (tiga, kiri) dan Joyce (tiga, kanan) selaku Penolong Penerbit, Syarikat China Daily, Hong Kong baru-baru ini.
    Joyce berpeluang merasa kelazatan soto istimewa daripada Soto Pabo semasa berada di Kampong Ayer.
    Meskipun baru pertama kali merasai hidangan ambuyat, Natasha terlihat begitu menikmati setiap cungkilannya menggunakan candas kayu berserta cacah buah binjai.
    Awang Kibat semasa menerangkan salah satu proses pembuatan Sagu atau Ambulung.
    Tepung Sagu yang sudah siap dibungkus untuk dipasarkan ke kedai-kedai runcit dan pasar raya terutamanya di Daerah Tutong.
    Keterujaan penggambaran di Kilang Sagu semakin meriah apabila kami berkesempatan menerokai salah satu makanan eksotik iaitu sejenis larva kumbang yang hanya dapat dijumpai di dalam batang pokok rumbia yang sudah reput yang dikenali sebagai Ulat Sagu.
    Ulat Sagu yang berlemak juga boleh dimakan hidup-hidup dan digoreng tanpa menggunakan minyak dan sedikit garam untuk menambah keenakan rasanya.
    Sayur pakis masak tumis, hati buyah goreng dan soto istimewa merupakan antara hidangan masyarakat tempatan yang begitu istimewa meliputi dari segi cara-cara penyediaannya sehinggalah rasanya yang pastinya menyelerakan.
    Selain dari produk tepung sagu, kilang berkenaan juga menghasilkan produk-produk hiliran seperti kuih mor pandan sagu, biskut sagu dan sebagainya.

    Wakil pengurus satu-satunya kilang sagu Kampung Ukong di mukim berkenaan, milik Syarikat Perusahaan Sagu Yong Pin Chin dan Anak-Anak, Awang Kibat bin Aboi menjelaskan bahawa pokok rumbia kebiasaannya diperolehi dari kawasan-kawasan berpaya di Kampung Ukong dan sekitarnya meliputi Kampung Long Mayan, Kampung Layong, Kampung Penapar dan Sungai Damit di Daerah Tutong.

    “Pokok rumbia yang dipilih itu setentunya telah mencecah usia sekurang-kurangnya 10 hingga 13 tahun yang berpotensi untuk ditebang dan diproses. Pada awalnya kilang ini beroperasi secara tradisional sejak awal tahun 1970an, namun kini peralatan moden seperti mesin pemotong kayu dan pengisar juga telah digunakan. Kini perusahaan itu mempunyai beberapa pekerja tempatan dan luar negara,” tambahnya lagi.

    Beliau turut menyatakan bahawa tepung sagu yang sudah siap dibungkus itu akan dipasarkan ke kedai-kedai runcit dan pasar raya terutamanya di Daerah Tutong. Selain daripada produk tepung sagu, kilang berkenaan juga menghasilkan produk-produk hiliran seperti kuih mor pandan sagu, biskut sagu dan sebagainya.

    “Kebiasaannya hidangan ambuyat ini lebih seronok dinikmati bersama ahli-ahli keluarga yang mana ia sememangnya sudah menjadi budaya turun-temurun lagi dalam masyarakat di negara ini,” ujarnya lagi dengan nada kegembiraan.

    Hidangan Ambuyat penyatu kekeluargaan

    Meskipun baru pertama kali merasai hidangan Ambuyat, Natasha yang kini berusia 24 tahun terlihat begitu menikmati setiap cungkilannya menggunakan candas kayu berserta cacah buah binjai.

    “Apa yang saya perhatikan, kebanyakan hidangan di negara ini sememangnya banyak berkisar dengan budaya dan sejarah yang tersendiri. Salah satunya ialah Ambuyat yang dilihat sebagai penyatu nilai kekeluargaan. Itulah hebatnya nilai kebudayaan dalam masyarakat di negara ini yang sememangnya mengutamakan hidup berkeluarga,” jelas Natasha dengan penuh keterujaan.

    Sebagai seorang yang meminati makanan jenis kanji, Joyce menyatakan perasaan gembira kerana berpeluang menikmati hidangan Ambuyat bersama rakan-rakan media baharu beliau di negara ini yang seakan-akan seperti keluarga sendiri.

    Selain itu, beliau juga berpuas hati kerana dapat menikmati kelazatan hidangan tempatan yang lain seperti sayur pakis masak tumis dan hati buyah goreng serta soto istimewa.

    Ulat Sagu jadi tarikan

    Keterujaan penggambaran ini semakin meriah apabila kami berkesempatan menerokai salah satu makanan eksotik daripada sejenis larva kumbang yang hanya dapat dijumpai di dalam batang pokok rumbia yang sudah reput yang dikenali sebagai Ulat Sagu.

    Ulat Sagu yang bersaiz berisi dan berlemak itu boleh dimakan secara hidup-hidup dan juga boleh digoreng tanpa menggunakan minyak dan sedikit garam untuk menambah keenakan rasanya.

    “Sedap! ia seperti masakan kulit ayam yang digoreng atau dibakar,” jelas Joyce yang kini berusia 23 tahun apabila berpeluang menikmati ulat sagu segar yang telah digoreng.

    Unik, itulah hidangan Brunei

    Begitu pantas masa berlalu, namun kenangan bersama kru penggambaran syarikat tersebut sememangnya banyak mendidik kami sebagai wartawan media tempatan dalam pelbagai bidang seperti teknik videografi, penulisan skrip dan penerbitan yang mana amatlah berharga untuk memantapkan tugasan harian dari semasa ke semasa.

    “Sepanjang meniti siri penggambaran ini, jelas menunjukkan bahawa hidangan masyarakat tempatan itu sangatlah istimewa apabila kita menerokainya meliputi dari segi cara-cara penyediaannya sehinggalah rasanya. Itulah uniknya budaya masakan kita!,” ujar Wartawan Kanan (Senior Reporter), Borneo Bulletin, Awang Aziz Idris semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.

    Melalui penerokaan budaya terjalinnya nilai sebuah persahabatan meski berbeza agama dan bangsa, namun kenangan pahit manis bersama tetap sentiasa bersemadi dan akan menjadi ristaan meniti liku-liku perjalanan kerjaya sebagai dunia kewartawanan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda