Sunday, May 11, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keunikan hidangan nasi

    Majoriti daripada kita di Asia mengambil sekurang-kurangnya satu hidangan nasi setiap hari sebagai melengkapkan diet harian.

    Beras putih boleh dianggap pilihan kebanyakan orang. Ada juga yang memilih beras perang, namun jumlahnya tidaklah ramai.

    Nasi juga dianggap makanan ruji bagi masyarakat di negara ini. Tidak hairanlah kenapa begitu banyak resipi nasi yang terkenal dan digemari ramai.

    Nasi yang paling popular dihidangkan untuk sarapan adalah Nasi Lemak. Di pantai timur pula, ada Nasi Kerabu, Nasi Berlauk dan Nasi Dagang. Semuanya mempunyai lauk, sayur dan bahan sampingan yang tertentu.

    Namun kini terdapat pelbagai hidangan nasi yang diolah mengikut citarasa masa kini, dan kadang-kadangnya tampil unik yang mungkin kita tidak pernah terfikirkan sebelum ini.

    Di sini dikongsikan beberapa resipi yang boleh anda simpan dan cuba untuk hidangan seisi keluarga.

    Roti Nasi

    Hidangan untuk: Enam orang

    Masa penyediaan: 15 minit + 2 jam (penaikan)

    Masa memasak: 45 minit

    Bahan-bahan:

    -½ cawan air suam

    -¾ cawan nasi sejuk

    -2 sudu besar gula klaster

    -3 cawan tepung serba guna (tambah untuk menguli)

    -1 ¼ yis segera

    -1 sudu kecil garam

    -2 sudu besar telur, dicampur dengan 1 sudu kecil air

    Cara membuat:

    1-Kisar air suam dengan nasi.

    2-Tambah 1 cawan tepung, gula dan yis, kacau rata. Tutup dan perap 1 jam.

    3-Masukkan 2 cawan tepung dan garam, kacau sehingga sebati. Uli menjadi doh yang elastik di atas papan pencanai yang ditabur tepung.

    4-Bentukkan menjadi bebola, letak dalam tin yang dilengser dengan marjerin dan biar kembang. Sapu campuran telur-susu, kemudian bakar pada 185 darjah Celsius selama 35-40 minit.

    Mafin Nasi

    Hidangan untuk: Empat orang.

    Masa penyediaan: 15 minit

    Masa memasak: 25 minit

    Bahan-bahan:

    -1 cawan nasi sejuk

    -¾ cawan susu, dicampur dengan 1 sudu besar jus lemon (dibiar 10 minit)

    -2 cawan tepung serba guna

    -1 cawan gula kastor

    -3 sudu kecil serbuk penaik

    -½ sudu kecil garam

    -2 biji telur.

    – ¼ cawan mentega, dicairkan

    -½ cawan kurma, dicincang

    Cara membuat:

    1-Kisar nasi dengan campuran susu dan lemon. Ketepikan.

    2-Satukan tepung, gula, serbuk penaik dan garam.

    3-Pukul telur sehingga kembang. Masukkan nasi dan mentega. Gaul sebati, tambahkan kurma.

    4-Sudukan 2/3 penuh ke dalam bekas mafin. Bakar pada 185 darjah Celsius selama 20-25 minit atau sehingga masak.

    Nasi Goreng Keju

    Hidangan untuk: Dua orang

    Masa penyediaan: 10 minit

    Masa memasak: 10 minit

    Bahan-bahan:

    -2 sudu besar marjerin

    -½ labu bawang besar Holland, didadu

    -2 ulas bawang putih, dicincang halus

    -¼ cili Benggala hijau, didadu

    -½ cawan jejari ketam, dipotong

    -370g (2 cawan) nasi sejuk

    – ¼ cawan parutan keju Parmesan

    -Garam dan serbuk lada sulah secukup rasa

    Cara membuat:

    1-Panaskan marjerin, tumis bawang besar dan bawang putih sehingga keperangan.

    2-Masukkan cili Beggala, kacau 1 minit.

    3-Tambah jejari ketam dan nasi, kacau 1 minit.

    4-Campurkan keju, garam dan serbuk lada sulah. Gaul rata.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda