Oleh Amri HTZ
Berbicara mengenai perhiasan yang terbuat daripada kayu, keindahan dan kepelbagaian corak ira kayu yang terpapar pasti menarik perhatian para penggemar hiasan unik.
Ira kayu yang tercipta secara semula jadi pasti tidak dapat ditandingi oleh rekaan sintetik walaupun kadangkala ia juga nampak indah. Selain corak iranya, warna kayu yang terdapat di antara ira dan permukaan lain juga pelbagai sekali gus meningkatkan lagi nilai estetiknya.
Memandangkan sesetengah perhiasan yang ringkas cukup mudah direka sendiri, projek ini akan mengajarkan awda cara untuk mereka jam dinding terbuat daripada kayu.
Perlu peralatan yang cukup
Jam dinding unik yang akan direka ini memerlukan awda untuk menyediakan peralatan seperti kepingan kayu, besi pencungkil, mesin pemotong kayu, alat ketam kayu, pensel penanda, kadbod, gunting, pengepit, mesin router, gam kayu, pahat kayu, dowel berdiameter 2.5 sentimeter, mesin gerudi, mata gerudi 2.5 sentimeter, mekanisme jam dan wood finish pilihan untuk memastikan projek rekaan berjalan lancar.
Mudah tetapi perlu perhatian
Projek rekaan ini akan menggunakan kayu terpakai daripada palet terbuang. Selain memanfaatkan kayu berkenaan daripada rosak begitu sahaja, kayu tersebut dipilih disebabkan keunikan corak iranya dan cukup ringan untuk digantungkan walaupun ukurannya yang tebal.
Untuk itu, palet tersedia terlebih dahulu ditanggalkan menggunakan besi pencungkil.
Setelah membersihkan permukaannya daripada paku dan stapler, langkah seterusnya ialah mengetam keseluruhan permukaan kayu untuk menjadikannya semua sama rata. Tujuan utama kayu dibersihkan daripada sebarang besi adalah bagi memastikan bilah mesin atau alat ketam tidak rosak apabila terkena padanya.
Ketebalan kayu dalam projek ini bukanlah suatu yang mandatori memandangkan setiap kepingan kayu palet tidak mempunyai ukuran yang standard di mana ia direka mengikut barangan berat dan ukuran barangan ditempatkan. Oleh itu ketika awda mengetam permukaannya, pastikan ketebalan tidak lebih daripada 2 inci agar rekaan nampak lebih baik dan seimbang.
Langkah seterusnya ialah memotongnya dengan bentuk diperlukan iaitu tiga segi seperti potongan piza. Bagi memastikan langkah pemotongan tidak berlaku kesilapan sekali gus menjadikan pembaziran, lakar bentuk bulatan pada kadbod yang tersedia. Bulatan tersebut akan dibahagi kepada 12 bahagian mengikut jam di mana ia akan memerlukan awda membuat pemotongan setiap bentuk dengan sudut 30 darjah.
Kadbod yang telah dilakar kemudiannya akan dipotong dan digunakan sebagai templat untuk meniru bentuknya pada permukaan papan. Caranya cukup mudah, dengan hanya meletakkan potongan kadbod tersebut pada permukaan kayu, awda hanya perlu memegang templat dan melakar bahagian luarannya menggunakan pensel.
Setiap potongan perlu diberikan penandaan agar tidak keliru susunannya. Selain itu, permukaan atas dan bawah juga ditandakan bagi memastikan apabila ia disusun akan membentuk bulatan yang sempurna. Dengan bantuan rip fence dan miter gauge (ditetapkan kedudukan 30 darjah), potong kayu-kayu berkenaan dengan berhati-hati.
Sebagai peringatan, setiap kepingan yang bersebelahan perlulah terdiri daripada kayu yang berbeza, ini bagi mendapatkan ira dan warna berlainan daripada kayu. Walaupun berlainan kayu, namun aliran corak ira kayu perlulah selari dan bukannya bertentangan bagi memastikan rekaan yang baik.
Setelah memotongnya, bahagian sisi kayu akan direka dengan alur untuk membolehkan kayu pasak dimasukkan. Tujuan utama kayu pasak ini adalah bagi memastikan struktur jam kukuh ketika dicantumkan nanti. Menggunakan mesin router dilengkapi straight bit, reka alur tersebut dengan memastikan material ditetapkan kedudukannya menggunakan bench vise dengan kedalaman 5 milimeter.
Kayu pasak yang digunakan perlulah sama tebal dengan mata mesin router. Untuk mendapatkannya, potong kayu menggunakan mesin pemotong kayu meja. Setelah memotongnya, masukkan pasak tersebut pada alur dan cantumkan kayu bersebelahan dengannya untuk menyesuaikan panjangnya dan lebihan yang perlu dipotong. Gunakan pahat kayu untuk mengecilkan ukuran pada bahagian hujung di mana bahagian kayu utama mengecil.
Apabila kesemua pasak telah diukur dan dipotong, langkah seterusnya memerlukan awda untuk mencantumkan keseluruhan kepingan kayu menggunakan gam kayu. Sapu keseluruhan permukaan cantuman termasuk bahagian alur dan pasak kayu. Untuk mengekalkan kedudukan cantuman, strap clamp akan digunakan bagi memudahkan langkah tersebut. Berikan masa beberapa jam untuk gam mengering sebelum awda melaksanakan langkah seterusnya.
Untuk menetapkan kedudukan jam, kayu berbentuk bulat (dowel) akan digunakan. Bagi awda yang sukar mendapatkan ukuran diperlukan atau harganya terlalu mahal, menggunakan batang penyapu merupakan alternatif bagi langkah ini. Sebelum memboleh-kan awda menetapkan kedudukannya, reka ruangan untuknya dengan menebuk permukaan kayu dengan mata gerudi yang sesuai ukuran kayu digunakan.
Setelah itu, kekalkan kedudukan kayu tersebut juga menggunakan gam kayu. Lebihan kayu akan dipotongkan selaras dengan permukaan utama jam menggunakan gergaji setelah gam mengering. Mana-mana lebihan kayu yang tidak berjaya dipotong menggunakan gergaji disebabkan ruangan yang terhad boleh dibersihkan menggunakan pahat kayu atau kertas pasir.
Lebihan atau lelehan gam kayu yang mengering kemudiannya boleh dibuangkan menggunakan pahat kayu diikuti dengan menggosok keseluruhan permukaan menggunakan kertas pasir 80 grit. Bagi mendapatkan permukaan lebih halus, gunakan kertas pasir grit 300.
Langkah seterusnya ialah membuat ruangan mekanisme jam pada bahagian belakang jam. Dengan menandakan bahagian tengah kayu, lakar bentuk mekanisme yang digunakan dan reka ruangan menggunakan mesin router. Untuk jarum jam pula, lubang akan ditebuk sesuai ukurannya.
Langkah terakhir ialah menyapukan keseluruhan permukaan rekaan menggunakan wood finish pilihan. Dalam memastikan ira-ira kayu benar-benar menyerlah, gunakan wood finish yang bersesuaian. Setelah menggantungkan rekaan pada ruangan dinding bersesuaian, setiap kali melihat waktu, setentunya ia akan mengimbau kembali kenangan awda ketika membuatnya.