Oleh Imelda Groves HA
‘IKAN di laut, asam di darat, akhirnya bertemu juga’. Inilah ungkapan kata yang sering diucapkan apabila berkaitan dengan jodoh yang berlainan latar belakang.
Tetapi kali ini, penulis bukanlah hendak menerangkan mengenai jodoh tetapi mengenai asam yang dimaksudkan apabila digunakan dalam masakan yang menjadikan ungkapan tersebut menemui logiknya.
Asam yang penulis maksudkan adalah Asam Aur-Aur yang juga dipanggil sebagai Asam Kulit. Namun begitu, asam ini juga turut digelar sebagai buah ceri Brunei kerana bentuk buahnya seperti ceri dan memiliki nama saintifiknya ‘Gracinia Parvifolia’ iaitu sejenis kumpulan buah manggis.
Penulis terpanggil untuk menulis mengenai Asam Aur-Aur ini disebabkan sering menyaksikan aktiviti ibu penulis yang setiap pagi mengutipnya lalu mengumpulkannya dan seterusnya melalui proses mengupas, mengalih-alihkan buah dan kulitnya lalu menjemur kulitnya.
Kerana ingin tahu lebih mendalam lagi, penulis pun mengikuti aktiviti ini dan bertanyakan mengenai buah yang sepatutnya bermusim ini seperti yang dinyatakan dalam beberapa artikel-artikel yang lain.

Buah bermusim ini biasanya akan berbuah pada setiap tahun, tetapi menjadi kehairanan penulis kenapa hampir setiap minggu ibu penulis melakukan aktiviti ini. Mungkin juga bermusim yang dimaksudkan ini adalah sebagai jumlah buah yang lebih banyak daripada hari-hari biasa.
Dari tingkap rumah, penulis akan menyaksikan ibunya akan berada di bawah rimbunan pokok asam ini dan kadang-kadang ‘menjuluk’ buahnya, kadang-kadang hanya mengutip buah-buah yang telah pun berguguran terutama sekali setelah hujan pada hari sebelumnya.
‘Ceri Brunei’ ini berwarna hijau apabila mentah, kekuningan ketika hampir masak dan merah setelah benar-benar masak dan siap untuk melalui proses yang dilakukan oleh ibu penulis. Proses yang dimaksudkan adalah pengupasan kulit yang berwarna merah dan mengasingkannya dengan isi buah yang lunak tersebut ke dalam bekas yang lain.
Kulitnya lalu disusun pada bekas seperti nyiru untuk dijemur. Proses menjemur akan mengambil masa tiga hingga lima hari tertakluk kepada keadaan cuaca. Melalui proses ini, kulit asam tersebut akan berubah warna menjadi kehitaman dan setelah benar-benar kering, ianya akan disimpan di dalam bekas kedap udara. Jika orang dulu-dulu, mereka lebih gemar menyimpannya di dalam bekas tin.
Fungsi kulit kepada buah ini adalah sebagai perisa masam kepada masakan harian, antaranya adalah ikan rebus, masak asam pedas, masakan kari dan sebagainya mengikut kreativiti masing-masing.
Selain berfungsi sebagai perisa kepada masakan, Asam Aur-Aur juga didakwa berfungsi sebagai jamu bagi wanita dalam berpantang setelah melahirkan anak. Jamu yang dimaksudkan adalah campuran kulit asam, air, kunyit dan sedikit garam. Air campuran ini kemudian diminum dan dijadikan sebagai jamu yang dikatakan boleh melancarkan aliran darah dan sebagainya.
Inilah yang dimaksudkan sebagai Asam Kulit kerana hanya kulitnya yang diperlukan setelah kulit yang dijemur itu benar-benar kering.
Biasanya asam kulit ini akan dijual pada harga $15 hingga $20 segantang mengikut keperluan pasaran. Ini kerana asam kulit ini bukan mudah untuk diperoleh terutama sekali jika bukan pada musimnya.
Alhamdulillah, ibu dan bapa penulis bijak bertindak menanam pokoknya dan memiliki asam kulit untuk keperluan sendiri.


Kadang-kadang jika terlalu banyak, ibu penulis akan menjualnya kepada rakan-rakan dan sanak saudara dengan harga $4 hingga $5 sahaja dalam bekas kontena bersaiz kecil.
Setelah proses asam kulit disempurnakan, pasti ada yang tertanya mengenai buahnya. Kebiasaannya, buahnya yang lunak berwarna putih kekuningan ini sedap dimakan begitu saja, kerana rasanya yang masam-masam manis tetapi getah pada buah tersebut terkadang akan melekat pada gigi dan inilah yang membuatkannya tidak selesa untuk dimakan terus.
Namun begitu bapa penulis pula akan mengambilnya dan memulakan proses menjeruk. Menjeruk buah asam ini samalah seperti menjeruk mangga masam tetapi mengikut cita rasa masing-masing, biasanya bapa penulis akan membuatnya secara ringkas hanya dengan menggabung campuran garam dan gula sahaja.
Setelah beberapa hari dijeruk, ianya sedia untuk dimakan. Buahnya juga dikatakan boleh dijadikan sebagai asam cuka asli hanya dengan merendam buah tersebut lebih kurang selama tiga hari dan airnya ditapis, kemudian buah tersebut akan menghasilkan air yang berfungsi sebagai cuka asli.
Buah Asam Aur-Aur bersama kulitnya ini juga dikatakan berperanan sebagai ubat orang dulu-dulu. Antara penyakit yang dikaitkan dengan penyembuhan menggunakan alam semula jadi ini ialah penyakit gajah-gajahan dan sakit perut.
Cara membuat ubat kepada penyakit ‘gajah-gajahan’ adalah dengan mencampurkan asam cuka asli yang telah diproses tadi dengan sedikit nila, manakala untuk kulit asam yang kering dikatakan boleh menyembuhkan sakit perut dengan campuran beberapa bahan alami yang lainnya.
Seperti yang penulis katakan awal tadi, pokok buah ini sangat rimbun dan memiliki daun yang lebat. Pokok ini sesuai ditanam di kepulauan Borneo. Ketinggian pokoknya yang bercabang-cabang dan melurus ini adalah sederhana ketika mencapai usia matangnya yang kira-kira mengambil masa empat ke lima tahun. Ini dapat disaksikan melalui daunnya yang sentiasa berwarna hijau tua.
Sebelum menghasilkan buah, pokok ini akan menghasilkan bunga yang kecil yang mengambil masa 102 hari untuk matang, manakala buah yang dihasilkan berbentuk ceri bulat dengan ukuran 3.23 hingga 2.48 sentimeter panjang dan 3.0 hingga 3.4 sentimeter lebar.
Dengan saiz buah tersebut juga turut mengingatkan penulis terhadap ‘biji asam’ yang sering dikatakan oleh orang kitani berhubung dengan tulang biji yang terletak pada kedua-dua belah sendi kaki yang menghubungkan tapak kaki kita.