Saturday, March 15, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keunikan, keindahan Mauritius tiada bandingan

    PERCUTIAN pulau memang sering dianggap sebagai destinasi percutian yang didambakan oleh semua orang. Apakah agaknya misteri di sebalik ke-indahan pasir putih di tepi pantai, pokok kelapa yang dihembus bayu serta saujana melihat matahari terbenam atau terbit yang sentiasa menghidupkan suasana tenang dan damai di kalangan orang?

    Dan biarpun Asia Tenggara terkenal akan pulau-pulau serta pantai-pantainya, ada banyak juga negara di luar rantau kita yang mempunyai pantai-pantai hebat. Salah satunya yang kian menjadi destinasi popular adalah Mauritius.

    Terletak sekitar 2,000 kilometer dari kawasan tenggara benua Afrika, permata Lautan Hindi ini merupakan sebuah pusat pelbagai budaya dan bangsa, berkat sejarahnya yang sangat kaya serta berwarna-warni. Biarpun satu masa dahulu pulau ini tidak berpenghuni sama sekali, ia kini menjadi tempat tinggal penduduk yang terdiri daripada rakyat yang merantau dari tanah India, Afrika, China dan juga Eropah.

    Dengan gabungan begitu banyak bangsa, tidak hairanlah jika ia terus menarik pelancong serata dunia. Lebih menarik lagi, semua penduduk Mauritius fasih bertutur dalam bahasa Inggeris dan Perancis kerana kedua-dua kuasa besar ini pernah menjajah pulau tersebut dan kedua-dua bahasa itu masih kekal digunakan sampai sekarang.

    Untuk mengenali penduduk serta makanannya, anda boleh bermula di Port Louis, ibu negara pulau tersebut. Tersemat di pantai barat laut, Port Louis memang sebuah kota yang menawarkan pelbagai pemandangan serta suasana yang menarik. Ini paling ketara terlihat di pasar utama mereka.

    Pasar Port Louis menjual aneka barangan termasuklah makanan tempatan, barangan makanan mentah, kraf tangan dan juga cenderahati. Seperti mana-mana pasar di dunia, bersiap-sedialah untuk tawar menawar kalau ingin membeli barangan tertentu. Pasar ini juga merupakan tempat yang sesuai untuk mencuba makanan jalanan tempatan.

    Oleh sebab sejumlah besar penduduk negara ini berasal dari India, kebanyakan makanan mereka sangat mirip dengan makanan India. Dan oleh sebab majoriti penduduk beragama Hindu, jadi makanan mereka banyak berasaskan sayur-sayuran dan tidak menggunakan daging.

    Ini juga memudahkan komuniti serta pelancong beragama Islam untuk sama-sama menikmati sajian.

    Mauritius adalah salah satu destinasi yang semakin popular di kalangan pelancong. Ianya terletak sekitar 2,000 kilometer dari kawasan tenggara benua Afrika.
    Semua penduduk Mauritius fasih bertutur dalam bahasa Inggeris dan Perancis kerana kedua-dua kuasa besar ini pernah menjajah pulau tersebut dan kedua-dua bahasa itu masih kekal digunakan sampai sekarang.
    Pasar Port Louis menjual aneka barangan termasuklah makanan tempatan, barangan makanan mentah, kraf tangan dan juga cenderahati.
    Di kawasan dermaga Port Louis, terdapatnya kedai-kedai serta butik yang menjadi tumpuan golongan muda-mudi Mauritius. Ia juga merupakan lokasi ‘Umbrella Walk’ di mana puluhan payung digantung sebagai hiasan sepanjang bahagian dalam dermaga.
    Untuk mendapatkan pemandangan luas Port Louis dari kawasan yang lebih tinggi, anda perlu ke Tugu Adelaide yang juga dikenali sebagai Citadel of Port Louis. Ia terletak di kawasan atas bukit yang menawarkan pemandangan pelabuhan serta ibu kota.
    Sekiranya ingin mendalami sejarah Mauritius, singgahlah ke muzium interaktif gula yang dikenali sebagai L’Aventure du Sucre (The Sugar Adventure dalam Bahasa Perancis).
    Antara hotel yang paling popular di Mauritius adalah Constance Belle Mare Plage. Ianya dilengkapi dengan 104 buah bilik, 149 junior suite, 6 suite deluxe, 18 buah vila dan sebuah vila presidential.

    Umbrella Walk

    Di kawasan dermaga Port Louis, terdapatnya kedai-kedai serta butik yang menjadi tumpuan golongan muda-mudi Mauritius. Ia juga merupakan lokasi ‘Umbrella Walk’ di mana puluhan payung digantung sebagai hiasan sepanjang bahagian dalam dermaga. Payung-payung ini memang terkenal dan sering ditukar pada waktu tertentu. Kadangkala berwarna-warni, kadangkala satu warna sahaja dan kadang-kadang juga diubah mengikut tema.

    Untuk mendapatkan pemandangan luas Port Louis dari kawasan yang lebih tinggi, anda perlu ke Tugu Adelaide yang juga dikenali sebagai Citadel of Port Louis. Ia terletak di kawasan atas bukit yang menawarkan pemandangan pelabuhan serta ibu kota. Ia dulu dibina antara tahun 1834 hingga 1840 untuk menjaga bandar itu daripada rusuhan rakyat sewaktu pemansuhan sistem penghambaan. Kini ia telah menjadi lokasi tersohor untuk konsert serta persembahan antarabangsa yang gah.

    Satu lagi tempat yang tidak kurang menariknya adalah Taman Botani Pamplemousses. Ia menawarkan pemandangan penuh kehijauan berkat keinda-han alam semula jadi sekeliling. Di kawasan Port Louis ini juga, ia menempatkan tumbuh-tumbuhan dan antaranya adalah teratai gergasi yang memberikan latar belakang indah untuk mengambil gambar.

    Sekiranya ingin mendalami sejarah Mauritius pula, singgahlah ke muzium interaktif gula yang dikenali sebagai L’Aventure du Sucre (The Sugar Adventure dalam Bahasa Perancis) yang juga tidak jauh dari taman botani Pomplemousses. Gula adalah salah satu sebab kenapa Mauritius menjadi sebuah masyarakat berbilang kaum sampai hari ini.

    Tanah Tujuh Warna

    Menurut Jurnal Kembara Harmoni, antara tarikan pelancong yang wajib dikunjungi di Mauritius ini adalah padang pasir ‘Tanah Tujuh Warna’ di Chamarel. Mampu mencapai ketebalan sehingga 15 meter, tanah kawasan ini mengandungi sisa-sisa aktiviti geo-klimatik masa lalu. Kandungan besi serta aluminium oksida yang berlawanan dalam kandungan tanah itu menghasilkan jalur-jalur indah yang berwarna-warni. Ini menjadikan padang pasir Tanah Tujuh Warna ini suatu keajaiban alam semula jadi yang sangat unik kerana ia hanya boleh ditemui di Mauritius dan mesti disaksikan sendiri untuk mempercayainya.

    Manakala di Casela World of Adventures yang berada di kawasan barat pulau itu, adalah merupakan salah satu daripada beberapa sahaja tempat di dunia di mana para pelawat boleh berinteraksi secara dekat dengan singa dan mengikuti kembara safari. Ia juga menyediakan tempat di mana pelawat boleh memberi makanan kepada binatang lain seperti zirafah, kambing dan banyak lagi. Kunjungan anda ke Mauritius tidak akan lengkap jika tidak menjejakkan kaki ke dalam lautan biru pulau tersebut.

    Hotel mewah

    Di antara hotel yang paling popular di Mauritius adalah Constance Belle Mare Plage. Hotel mewah yang berada di bawah payung jenama hotel Constance ini terletak sekitar satu jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Mauritius dan beberapa minit sahaja dari pantai peranginan popular. Sungguhpun begitu, ia menempati satu kawasan yang besar di kawasan pantai Poste de Flacq dan terdapat sebuah lapangan golf di sebelahnya.

    Dilengkapi dengan 104 buah bilik, 149 junior suite, 6 suite deluxe, 18 buah vila dan sebuah vila presidential, kesemua unit penginapan ini direka khas bagi menepati ciri-ciri pelancong masa kini. Tersedia juga bilik penginapan yang diwujudkan bagi mereka yang berkeluarga dan mempunyai anak-anak. Malah buat kanak-kanak terdapat Constance Kid’s Club bagi kanak-kanak daripada umur empat hingga 11 tahun. Di sini ada kemudahan seperti aneka permainan dalam, serta komputer dan macam-macam lagi. Tersedia juga kolam renang khas buat kanak-kanak.

    Para pengunjung juga boleh mencuba aktiviti-aktiviti lain yang tersedia di hotel ini seperti akuarobik, pakej lawatan bersiar-siar, dan banyak lagi aktiviti luar lain seperti menyelam, bermain golf dan pelbagai lagi.

    Selain daripada menyelam dan ber-snorkel seperti biasa, ada satu aktiviti unik yang harus dicuba oleh pengunjung iaitu berenang bersama ikan lumba-lumba! Terdapat banyak syarikat pelancongan di sana yang menyediakan pakej ini di mana anda berpeluang berenang dan melihat ikan lumba-lumba secara dekat di hadapan mata anda di dalam laut! Anda dapat menyaksikan sendiri kumpulan-kumpulan ikan lumba-lumba liar yang mendekati kawasan tepi pantai di waktu pagi. Pelawat pasti akan merasa teruja kala melihat ikan lelumba berenang di bawah kaki anda. Bagi yang ingin berjemur dan bersantai, anda bolehlah menaiki bot Catamaran ke pulau popular Ile Aux Cerfs yang sangat bersih dan menenangkan. Jelas terbukti, Mauritius mempunyai banyak tempat tarikan. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda