Tuesday, April 22, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keunikan, keindahan sebuah taman di sebalik kaca

    Oleh Lenna N.B.

     

    SALAH satu keunikan seni di sebalik gelas telah berhasil membentuk sebuah taman kecil dan melaluinya tercipta suatu fantasi serta impian seakan membawa kita masuk ke dunia kecil yang kita cipta sendiri. Taman sebalik kaca, itulah yang sering diucapkan menggambarkan keunikan seni terrarium, yang menggabungkan kreativiti, fantasi dan realiti. Sebuah taman miniatur membentuk keindahan semula jadi umpama indahnya kehidupan ikan-ikan berenang sebalik akuarium.

    Penggiat Seni Terrarium tanah air

    Akhir-akhir ini, seni terrarium kian dikenali malah menjadi antara hobi yang popular dalam kalangan suri-suri rumah, anak-anak muda, dan tidak kurang juga, kanak-kanak yang ingin mencipta taman kecil mereka sendiri.

    Ia bukan sekadar menjaga tanaman di pasu, tetapi membentuk kemahiran kreativiti menghiasi atau menyusun sebuah taman dan pada masa yang sama, memahami ekosistem tanaman tersebut, agar tetap hidup segar dalam taman kecilnya.

    Tertarik dengan keindahan seni terrarium ini, wartawan Media Permata telah menemui salah seorang penggiat seni terrarium dari Kuala Belait, Dayang Fathin Tani, 26, yang telah mencipta lebih 100 tanaman seni terrarium.

    Antara koleksi botol-botol kaca Dayang Fathin.
    Sekitar suasana bengkel seni terrarium yang dikelolakan oleh Dayang Fathin.

    Dayang Fathin di sebalik tabir ketika sedang membentuk seni terrariumnya.

    “Saya berminat dengan seni terrarium kerana ia umpama mencipta suatu taman yang indah di sebalik kaca, dan secara tidak langsung menjadi terapi semula jadi kepada minda kita, menjadikan hati dan fikiran saya tenang ketika melakukannya,” ujarnya.

    Menurutnya, seni terrarium mula mendapat perhatian dalam kalangan orang ramai sekitar tahun 2014, apabila ia mula dikenali dengan keunikan dan keindahannya yang tersendiri. Apatah lagi, ia menjadi wadah merealisasikan fantasi kecil kita. Melihat potensi seni terrarium itu, Fathin Tani melakukan penerokaan dan memulakan karya terrariumnya yang pertama.

    “Sebenarnya, penglibatan saya dalam seni terrarium ini pada awalnya adalah untuk mencari sedikit pendapatan menanggung perbelanjaan saya semasa dalam pengajian. Apatah lagi dalam keadaan elaun belajar yang kadang-kala lewat untuk dikeluarkan. Oleh itu, dengan adanya peniagaan kecil-kecilan, sedikit sebanyak dapat meringankan keperluan saya. Kebetulan pada masa itu, seni terrarium mula menjadi trend. Pada waktu itulah saya membuat penerokaan, kajian dan seterusnya berjinak-jinak dalam seni ini, bermula dari sebuah cawan teh,” tambah Dayang Fathin lagi kepada media.

    Dari sebuah cawan teh

    Beliau bermula dari sebuah tumbuhan kaktus kecil dalam cawan teh, yang dijadikan hadiah untuk rakan-rakannya. Melihat karya terrariumnya disukai, Dayang Fathin seterusnya menggunakan gelas dan botol-botol lut sinar, yang menyerlahkan lagi keindahan terrariumnya sekali gus berperanan untuk pertumbuhan satu tanaman yang sempurna.

    “Terrarium bukan sekadar tanam bunga atau keindahan warna-warni batu-batu dalam kaca, tetapi bagaimana kedua-duanya dapat dilakukan dengan persekitaran yang betul. Setiap batu atau bahan yang digunakan dalam kaca masing-masing mempunyai peranan untuk memberi kehidupan kepada tumbuhan. Malah, penggunaan kaca lut sinar itu sendiri tujuannya agar ia dapat membekalkan cahaya yang cukup kepada tanaman,” terang Dayang Fathin.

    Dengan membuka akaun di media sosial membuatkan Dayang Fathin mula mengabadikan karya-karya terrariumnya di akaun tersebut untuk tatapan dan inspirasi kepada orang ramai. Jenis tumbuhan atau tanaman yang dipilih adalah yang mempunyai proses pertumbuhan yang lambat seperti kaktus, sekulen, dan sebagainya, yang tidak memerlukan penjagaan yang terlalu rapi dan sukar.

    Peranan setiap lapisan

    Tanaman terrarium bermula daripada membentuk lapisan batu-batu dan tanah dalam kaca bagi membina ekosistem yang sesuai dengan pertumbuhan tanaman.

    Umpamanya batu-batu yang bertindak untuk menampung air, zeloit yang berfungsi sebagai filter, Spagnum Mos yang memisahkan antara tanah dan air, juga untuk memberi kelembapan kepada persekitarannya, batu-batu arang berperanan untuk memberi kesegaran kepada tanaman dan pada masa yang sama membunuh bakteria, tanah sebagai medium tanaman dan akhirnya barulah tumbuhan yang hendak ditanam lazimnya berukuran kecil dan kelihatan sangat comel.

    Antara seni terrarium yang kelihatan menarik dan indah.
    Umpama tanaman hijau yang tumbuh di atas salji.
    Kelihatan seekor itik di tepi kolam berdekatan rumah cendawan, antara dunia fantasi ciptaan Dayang Fathin sebalik karya seni terrariumnya.
    Sebuah tumbuhan yang agak unik, Tillandsia atau lebih dikenali sebagai Airplant kelihatan indah sebalik botol kaca.

    “Setiap lapisan ini mempunyai peranan untuk pembesaran tumbuhan itu dan setentunya apabila disusun sebalik gelas kaca, ia turut menampilkan keindahan variasi warna-warni lapisan batu-batu dan tanah itu.”

    Hiasan sekitar tumbuhan

    Sentuhan akhir inilah yang menjadi kesukaan orang ramai iaitu hiasan di atas tanah dan sekitar tumbuhan, yang turut merealisasikan taman impian kita jadi kenyataan.

    Sama ada ingin membentuk sebuah taman, hutan kecil, sebuah zoo dan sebagainya, semuanya terletak kepada imaginasi dan kemampuan kreativiti kita.

    “Itulah seronoknya seni terrarium. Kita bebas merealisasikan imaginasi, mengembangkan daya kreativiti kita dalam sebuah cawan kaca yang kecil. Menggunakan batu-batu warna-warni, patung-patung miniatur dan sebagainya.”

    “Cuma, demi penjagaan tanaman, hendaklah kita pastikan tidak ada warna-warna atau bahan-bahan yang mengandungi kimia kerana ia boleh membahayakan tumbuhan dan akan meracuni tumbuhan hingga menyebabkannya mati.”

    Bagi mendalami ilmu seni terrarium ini, Dayang Fathin banyak melakukan kajian daripada segi bahan-bahan yang digunakan dan pada masa yang sama, ia mengembangkan ilmu beliau dalam penjagaan tanaman semula jadi. Umpama seorang peladang yang menjaga kebunnya.

    Lama-kelamaan, seni terrarium ini, telah menanamkan cintanya kepada kehijauan.

    Bengkel seni terrarium

    Kini, hampir mencecah tiga tahun sejak Dayang Fathin menceburi seni terrarium. Setiap gelas kaca, mempamerkan kreativitinya yang tidak terbatas.

    Demi menanamkan semangat cinta kepada tumbuh-tumbuhan, serta seni kreativiti, Dayang Fathin juga telah berjaya mengendalikan beberapa bengkel seni terrarium sebelum ini.

    Bengkel seni terrarium beliau seterusnya adalah pada 4 Februari ini yang akan berlangsung di sebuah pusat membeli-belah di Batu Satu, membuka ruang kepada orang ramai menerokai keindahan seni terrarium.

    Melalui bengkel itu, orang ramai, termasuk kanak-kanak bebas untuk berseni sebalik botol kaca dan kreatif untuk melalui dunia fantasi serta imaginasi mereka yang akhirnya mereka akan membawa pulang sebuah taman kecil, sekecil tapak tangan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda