HAVANA – Pengunjung yang berkesempatan untuk mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Havana pada tahun ini bukan sahaja berpeluang untuk membawa pulang banyak koleksi buku yang mereka gemari bahkan juga turut berpeluang untuk membeli hasil lukisan Cina yang sangat indah dan semakin popular untuk dijadikan sebagai cenderahati.
Dicetak dengan teknologi digital, hasil lukisan indah pada kertas ‘xuan’ Cina merupakan sejenis kertas tradisi yang dibuat dari sekam padi dan telah berjaya mendapat sambutan yang cukup menggalakkan pada acara pesta buku pada tahun ini.
Bersesuaian dengan menjemput China selaku negara tetamu, maka ia juga merupakan waktu sesuai untuk mengetengahkan kertas yang sering digunakan dalam menghasilkan lukisan kreatif dan seni kaligrafi Cina itu.
Pavilion Cina merupakan salah satu kawasan yang kerap dikunjungi oleh penduduk di Cuba untuk mempelajari secara lebih terperinci mengenai kepelbagaian budaya Cina.
Demi memuaskan hati penduduk tempatan, China telah membawakan kira-kira 3,000 buah buku dalam Bahasa Sepanyol, Inggeris, Mandarin dan juga ungkapan lain yang melambangkan budaya China ke pesta itu.
Antara tarikan lain yang turut ditonjolkan adalah gulungan kertas yang menampilkan hasil lukisan tradisi Cina yang sangat indah. Setiap gulungan kertas itu menampilkan koleksi lukisan yang sangat indah di mana ia berjaya mendapat sambutan yang sangat menggalakkan sehingga pembeli harus terlebih dahulu beratur sebelum berpeluang untuk memilikinya.
Dua beradik, Dayana dan Leydis Lopez telah membeli empat lukisan tradisi tersebut untuk menghiasi ruang rumah mereka dan salah satu lukisan tradisi yang menjadi kegemaran mereka adalah lukisan bunga teratai yang dirancang untuk menghiasi ruangan dinding bilik tidur mereka.
“China bukan sahaja mengetengahkan buku bahkan turut menampilkan barang-barang lain yang menampilkan kebudayaannya. Saya sangat menyukai variasi warna dalam hasil lukisan ini. Malah kualiti yang ditampilkan juga cukup mengagumkan,” jelas Leydis Lopez kepada Xinhua.
“Membeli hasil lukisan tradisi bukan sahaja dapat menampilkan seni kebanggaan China bahkan juga turut mempamerkan keindahan dan kekuatan negara itu,” jelas Dayana Lopez.
Mereka juga berasa sangat terkejut tatkala mengetahui bahawa lukisan-lukisan tersebut dihasilkan di atas kertas yang diperbuat daripada sekam padi.
“Saya memang sangat menyukai karya yang ditampilkan pada lukisan itu namun tatkala mengetahui ia juga turut dihasilkan daripada kertas yang cukup istimewa secara tidak langsung turut menambah nilainya sekali gus menjadikannya sebagai satu koleksi yang sangat berharga,” jelas Dayana Lopez.
Di samping itu, warga Cuba juga cukup terpesona dengan unsur kontemporari yang ditampilkan pada lukisan seperti inovasi teknologi cetakan digital yang dikenali sebagai Printing on Demand.
Ia merupakan satu inisiatif yang diusahakan oleh Kumpulan Percetakan Import dan Eksport Kebangsaan China sebagai cara untuk menghasilkan cetakan digital dan menerbitkan seni yang berkualiti tinggi.
Pelukis Cuba, Ruben Rivero menjelaskan keistimewaan kertas yang digunakan dalam menghasilkan lukisan itu merupakan satu pengetahuan yang cukup bermakna di mana ia boleh memperlihatkan kesan serapan dakwat yang lebih baik. Malah dia juga menjelaskan hasrat untuk cuba menghasilkan lukisan daripada kertas tersebut.
“Kertas ‘xuan’ ini merupakan satu keunikan budaya di China dan turut melambangkan tradisi budaya di negara itu,” jelas Rivero.
“Saya memang begitu terpegun terhadap keistimewaannya dan tidak pernah terfikir akan kewujudan kertas yang cukup unik itu malah ia telah lama digunakan sejak percetakan akhbar diperkenalkan kepada dunia,” tambah Rivero. – Xinhua