Oleh Pehin Kolonel (B) Dato Paduka Abdul Jalil bin Hj Ahmad
Pada tahun ini, Republik Persekutuan Jerman dan negara-negara Eropah yang lain telah mengadakan pelbagai acara bagi memperingati 100 tahun selepas Perang Dunia Pertama.
Semenjak berakhirnya Perang Dunia Pertama pada tahun 1918, agama Islam di negara ini kian berkembang dengan pesatnya. Mengikut sejarah Islam di Republik Persekutuan Jerman, masjid pertama yang didirikan di negara ini ialah pada tahun 1915. Ia dibina di sebuah tapak khemah tahanan perang di bandar Wunsdorf, kira-kira 20km di Selatan ibu kota Berlin.
Semasa Perang Dunia Pertama seramai 4000 hingga 5000 tahanan tentera yang beragama Islam telah ditempatkan di sana sebelum masjid pertama dibina di tapak berkenaan.
Sebagai sebuah negara yang sekular, kini Republik Persekutuan Jerman mempunyai hampir 5 juta penduduk yang beragama Islam, di mana kebanyakannya berasal dari negera Turki. Seramai 300 ribu daripada 3.5 juta penduduk di ibu kota Berlin adalah terdiri daripada penganut yang beragama Islam.
Penulis yang kini berada di Berlin, ibu kota Republik Persekutuan Jerman berpeluang melaksanakan kewajipan menunaikan sembahyang fardu Jumaat di Masjid Emir Sultan bersama-sama dengan penduduk Islam lain.

Masjid Emir Sultan ini jika dibandingkan dengan tempat beribadah di negara kita, ianya hanyalah dikategorikan sebagai sebuah surau sahaja. Masjid ini hanya boleh menampung seramai 300 jemaah dan ia terletak sederet dengan kedai-kedai di jalan raya Hauptstrasse 150, di Daerah Schoneberg, Berlin.
Masjid ini mula digunakan pada tahun 2005 dan untuk tiba ke masjid ini adalah dengan menggunakan sistem pengangkutan bas yang mengambil masa kira-kira 25 minit dari Berlin Mitte (pusat bandar).
Sembahyang Jumaat tersebut telah diimamkan oleh seorang rakyat Jerman yang berketurunan Turki. Hampir keseluruhan mereka yang menunaikan sembahyang ini terdiri daripada mereka yang berasal dari negara Turki.
Ia dimulakan dengan syarahan agama yang disampaikan oleh salah seorang ulama masjid, bermula pada jam 11:30 pagi. Kemudian diikuti dengan sembahyang sunat Jumaat yang bermula pada kira-kira jam 12:15 petang, diikuti khutbah Jumaat.
Sembahyang fardu Jumaat pula bermula pada jam 12:30 petang. Kedua-dua syarahan agama dan khutbah Jumaat tersebut disampaikan dalam Bahasa Turki.
Pada musim sejuk ini, waktu sembahyang Asar bermula pada jam 1:36 petang, manakala waktu Magrib adalah bermula pada jam 3:56 petang.
Selepas selesai menunaikan sembahyang Jumaat, penulis turut membuat pemerhatian terhadap aktiviti jemaah tempatan yang kebanyakan daripada mereka suka berkumpul sambil berbual dan bertukar-tukar fikirkan sesama mereka di samping menikmati hidangan teh. Inilah satu-satunya budaya mereka yang agak menarik.
Di bumiku yang tercinta, Negara Brunei Darussalam, penulis merasa amat bersyukur di bawah pimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di mana Alhamdulilah negara kita masjid-masjid berdiri tersergam indah di seluruh pelosok negara.
(Penulis adalah bekas pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei, pesuruhjaya tinggi ke Republik Islam Pakistan dan duta besar ke Republik Persekutuan Jerman.)