Tuesday, December 31, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keunikan pergerakan seni mempertahankan diri Shorinji

    TADOTSU – Dari ruang dalaman sebuah pusat latihan Shorinji kempo di Tadotsu, Kagawa jelas kedengaran bunyi teriakan ‘Aah’ dan ‘Sei’ yang sangat bersemangat.

    Kira-kira 30 orang lelaki dan perempuan berpakaian seragam putih berusia di antara empat hingga 75 tahun kelihatan sangat tekun dan bersemangat dalam melakukan sesi latihan seni mempertahankan diri.

    Adegan yang ditonjolkan dalam filem ada kalanya boleh mengelirukan penonton di antara seni mempertahankan diri, Shorinji kempo dari Jepun dan Shaolin kung fu dari China.

    Menurut artikel The Japan News/ANN, Shorinji kempo adalah sejenis seni mempertahankan diri yang mula diperkenalkan di Tadotsu, Jepun pada tahun 1947 di mana ia merupakan sebuah tempat dianggap sangat suci oleh pengamal sukan tersebut.

    Pengasas Shorinji kempo, mendiang Doshin So (1911-1980) adalah seorang pengamal seni mempertahankan diri, pendidik dan juga tokoh agama.

    Gambar yang diambil daripada The Japan News/ANN ini menunjukkan sekumpulan kanak-kanak melakukan latihan Shorinji kempo di salah sebuah dewan latihan di Tadotsu, Jepun.

    Dia telah mempelajari seni mempertahankan diri di Manchuria (kini merupakan timur laut China) sebelum penghujung era Perang Dunia II.

    Mendiang So telah banyak mempelajari teknik seni mempertahankan diri selepas perang berlalu dan mencipta seni Shorinji kempo serta kerap mempraktikkannya di rumahnya di Tadotsu.

    Dalam kemelut selepas era peperangan, seni mempertahankan diri yang diasaskan oleh mendiang So secara tidak langsung menarik perhatian generasi muda ketika itu dan ia juga turut tersebar dengan meluas.

    Dilaporkan sekitar, 2,800 dewan latihan dam 1.8 juta orang mengamalkan seni Shorinji kempo di Jepun.

    Di samping itu, amalan seni mempertahankan diri itu juga turut dipraktikkan di 39 buah negara di Amerika Utara, Eropah dan Asia.

    Mendiang So juga pernah melihat mural yang menggambarkan latihan seni mempertahankan diri dipraktikkan oleh sami di Kuil Songshan Shaolin yang kini merupakan Wilayah Henan di China.

    Dia berasa sangat kagum terhadap mural itu dan telah memilih untuk menamakan seni mempertahankan diri itu sebagai Shorinji kempo berikutan daripada sebutan kuil Shaolin yang disebut sebagai ‘shorinji dalam Bahasa Jepun.

    Shorinji kempo menekankan kepada aspek pertahanan. Terdapat beberapa gerakan yang memberikan impak seperti pukulan dan tendangan namun Shorinji kempo lebih menumpukan kepada teknik pengelakan serangan dan memanfaatkan kuasa serangan yang dilancarkan oleh pihak musuh.

    Dilaporkan terdapat sekitar 600 pergerakan dalam Shorinji kempo termasuk gerakan gabungan.

    “Memahami teknik dan doktrinnya sahaja tidak mencukupi. Ketika anda melakukan sesi latihan dengan sepenuh jiwa dan raga maka ia dengan jelas dapat meningkatkan kemahiran dalam diri anda,” jelas Toshiyuki Mukai.

    Di usia 75 tahun, Mukai adalah individu tertua yang menyertai sesi latihan tersebut di ibu pejabat dewan latihan itu.

    “Saya berjaya untuk menemui aspek kehidupan baharu dalam setiap sesi latihan yang diikuti walaupun hakikatnya saya telah mengikuti sesi latihan selama bertahun-tahun. Shorinji kempo memiliki maksud mendalam yang tersendiri di mana ia dapat membantu kita untuk memahami karakter pengasasnya dengan lebih baik,” jelas Mukai.

    Bermula dari Marugame, di timur Tadotsu, Mukai telah mempraktikkan Shorinji kempo selepas dia mengikuti pengajian di Tokyo.

    Setahun sekali, Mukai turut mengunjungi rumahnya dan mengikuti sesi latihan di ibu pejabat tersebut.

    Shorinji kempo merupakan satu seni mempertahankan diri yang dipraktikkan sejak 71 tahun lalu oleh Doshin So. – Agensi

    Mukai tetap ingat akan kenangan mengikuti sesi latihan bersama pengasas seni mempertahankan diri itu malah dia juga sering bertanyakan mengenai prestasi latihannya.

    “So sering duduk secara bulatan bersama dengan pelatihnya sambil mengongsikan mengenai kisah dan pengalaman menariknya ketika mengunjungi Manchuria serta kepentingan untuk mempelajari seni mempertahankan diri,” jelas Mukai ketika mengenang kembali kenangannya bersama So.

    “Seorang pemimpin harus sentiasa berupaya untuk memimpin dan memimpin orang lain,” tambahnya ketika mengimbas kembali ungkapan yang sering diutarakan oleh So.

    “So sentiasa melayan setiap peserta latihannya dengan adil dan saya sangat kagum terhadap aura yang dimilikinya,” jelas Muraki.

    Di bawah garis panduan pengajaran yang disemak semula, seni mempertahankan diri telah menjadi mandatori di sekolah menengah bawah bermula pada tahun 2012 dan Shorinji kempo juga dimasukkan untuk menjadi sebagai satu pilihan.

    Pada tahun 2014, Shorinji kempo juga telah dijadikan sebagai satu Kejohanan rasmi di sekolah tinggi.

    Dalam Kejohanan Sekolah Tinggi dan pertandingan yang dianjurkan oleh Persekutuan Shorinji Kempo Jepun, terdapat tiga kategori demonstrasi untuk lelaki dan perempuan yang biasanya diadakan dalam sekumpulan yang memiliki seramai enam ke lapan orang peserta.

    Para peserta akan diberikan mata berdasarkan teknik-teknik tertentu yang mereka tonjolkan dan juga sudut ekspresi yang jelas memperlihatkan semangat juang seseorang individu serta beberapa elemen lain.

    Kodai Yamaji, pelajar sekolah menengah yang juga mengikuti sesi latihan di ibu pejabat itu sebelum ini pernah gagal daripada meraih kemenangan dalam acara Kejohanan Sekolah Tinggi pada Jun lalu.

    Ekoran daripada penyesalan yang agak mendalam, pelajar berusia 17 tahun itu juga terus berlatih dengan gigih sehingga berjaya untuk memenangi satu lagi acara kejohanan pada Julai lalu.

    “Shorinji kempo menekankan mengenai adab dan kecerdasan mental saya juga mampu dipertingkatkan melalui beberapa pergerakan tertentu yang dipraktikkan. Malah saya juga berjaya menjalinkan hubungan persahabatan dan turut meningkatkan sifat ketabahan dalam diri,” jelas Yamaji dalam nada tersenyum.

    Yamaji juga tidak lama lagi akan sibuk untuk mengikuti pengajian di kolej. Bagaimanapun dia juga mengatakan bahawa akan terus aktif melakukan Shorinji kempo walaupun telah melanjutkan pengajian di peringkat universiti dan melangkah ke alam pekerjaan.

    Jurulatih Shorinji kempo di seluruh negara itu kelihatan terus bersemangat untuk mengikuti sesi latihan di kuil Kongo Zen Sohonzan Shorinji di Tadotsu.

    Bandar itu juga dilihat akan terus mengekalkan tradisi Shorinji kempo yang telah diperkenalkan sejak 71 tahun lalu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda