Friday, February 7, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keunikan perhiasan dua dalam satu

    Oleh Amri HTZ

    Menyebut mengenai papan pasak (pegboard), bagi seorang pereka, ia bukanlah sesuatu yang asing lagi untuk menempatkan pelbagai barangan dengan cara menggantungnya menggunakan cangkuk.

    Pada kebiasaannya ia hanya ditempatkan di dalam stor disebabkan bentuknya tidak sesuai untuk dijadikan sebagai penghias ruangan. Masalah ini boleh diselesaikan dengan cara menambah baik reka bentuknya sekali gus dijadikan sebagai penghias sesebuah ruangan.

    Barangan yang diperlukan

    Bagi mereka rak papan pasak perhiasan dinding ini, beberapa barangan yang perlu disediakan terlebih awal ialah mesin gergaji bulat (circular), mesin gerudi, mata gerudi berukuran 3/4”, mesin kertas pasir atau kertas pasir (berukuran 400 grit), berus, papan lapis berketebalan ¾”, doewl berdiameter ¾”, besi penggantung, pita perekat, penyepit kayu dan cat papan hitam.

    Langkah pembuatan

    Untuk langkah pertama pembuatan, papan lapis yang disediakan perlu dipotongkan dengan ukuran 24”x30”. Jika anda menggunakan mesin gergaji bulat, pastikan anda menggunakan rip guard sebagai panduan ketika menyorongkan mesin agar ia tetap pada kedudukan yang dimahukan. Melakukan secara bebas (free hand) memerlukan tangan yang cukup stabil memandangkan sedikit kesilapan (mesin tidak dalam keadaan lurus) akan menyebabkan garisan potongan tersasar.

    Jika tidak memiliki rip guide yang khusus, menggunakan kayu atau besi yang cukup panjang dan lurus sudah cukup memadai. Namun pastikan kedua-dua bahagian hujung rip guide yang digunakan tersebut ditetapkan kedudukannya menggunakan penyepit kayu.

    Langkah seterusnya ialah melakar garisan berbentuk grid untuk menetapkan kedudukan setiap satu lubang yang akan ditebuk nanti. Garisan berbentuk grid akan ditandakan menggunakan pensel dengan jarak 3” setiap satu pada papan berukuran 24”. Sementara bagi papan berukuran 30”, jarak 3.75” setiap grid akan ditandakan. Kedudukan garisan yang bertembung setelah dilakar menentukan di mana kedudukan lubang harus ditebuk.

    Setelah menetapkan mata gerudi berukuran ¾” pada mesin, langkah menebuk permukaan papan lapis pada bahagian yang telah ditandakan bolehlah dilakukan. Mulakan dengan menebuk bahagian hujung keempat-empat sisi pada kedudukan pertama grid (3” dari bahagian sisi). Setelah itu berikan jarak 6” (satu grid ditinggalkan kosong) untuk lubang kedua dan seterusnya. Pada akhirnya, jumlah keseluruhan lubang yang boleh didapatkan dengan menebuk permukaan kayu ialah 12 lubang.

    Jika terdapat permukaan yang kurang halus pada bahagian dalaman lubang yang ditebuk, gunakan sanding drums Dremel bagi memudahkan langkah menghaluskan. Melakukannya secara manual juga mampu memberikan hasil yang sama. Selain itu keseluruhan permukaan papan juga perlu diratakan dan dihalusi menggunakan kertas pasir sama ada secara manual atau menggunakan mesin orbital sander bagi mempercepatkan proses.

    Langkah seterusnya ialah mengecat permukaan kayu menggunakan cat papan hitam. Tujuan utama di sini adalah bagi membolehkan permukaan papan dijadikan tempat menulis sesuatu nota yang dirasakan penting sama ada untuk diri sendiri mahupun sebagai pesanan untuk ahli keluarga lain. Lebih kurang separuh permukaan depan papan akan digunakan dan untuk itu, ia memerlukan anda menutupi separuh bahagian lagi agar tidak terkena cat secara tidak sengaja.

    Menggunakan pita perekat, tutup permukaan yang dirasakan tidak akan dicat lebih kurang tiga lapisan pita secara bertindih (satu pertiga) bagi memberikan lebih ruangan terlindung. Setelah itu, sapukan permukaan papan dengan cat lebih kurang dua lapisan dengan memberikan setiap lapisan masa untuk mengering sebelum memberikan lapisan yang baharu.

    Proses melakar bentuk grid pada permukaan papan lapis untuk menetapkan kedudukan lubang yang akan ditebuk.
    Menghalusi bahagian dalaman lubang menggunakan sanding drum bagi memudahkan dowel dimasukkan.
    Gunakan mata gerudi bersesuaian dengan dowel kayu yang digunakan.
    Lebih kurang separuh permukaan papan akan ditutup menggunakan pita perekat bagi memudahkan proses mengecat.

    Sementara menunggu cat mengering, gunakan masa terluang untuk memotong kepingan papan untuk meletakkan barangan dan dowel. Sekeping papan berukuran 4”x14” dan sekeping lagi berukuran 4”x8” akan dipotongkan menggunakan pemotong kayu. Bagi dowel pula, panjang 3 ½” diperlukan untuk meletakkan papan yang dipotongkan tadi. Untuk jumlah dowel dan kepingan papan, ia tertakluk kepada keperluan sendiri.

    Dowel sebesar ¾” mungkin dirasakan sukar untuk didapatkan kedai-kedai menjual dowel. Dengan mengambil manfaat batang penyapu yang berbentuk bulat selain ukuran yang lebih kurang sama, anda hanya perlu menyesuaikan diameter batang penyapu tersebut dengan mata gerudi yang digunakan untuk menebuk lubang pada kayu.

    Apabila cat telah mengering, anda bolehlah meneruskan langkah memasangkan penggantung pada bahagian belakang papan lapis. Selain cukup mudah mencantumkannya, rak papan pasak yang dipasangkan dengan penggantung boleh ditempatkan di mana sahaja ruangan dinding jika ingin mengalihkannya suatu hari nanti.

    Langkah terakhir ialah menempatkan dowel pada lubang-lubang yang ingin ditempatkan dengan papan dijadikan sebagai rak di atasnya. Bagi memastikan papan yang diletakkan kekal pada kedudukan, tebuk lubang pada bahagian hujung dowel bagi memudahkan skru dimasukkan dari bahagian bawah. Dengan mengekalkan papan tersebut, kini barangan perhiasan dan sebagainya boleh diletakkan dan nota untuk peringatan juga boleh dituliskan di atas permukaan papan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda