Oleh Yusrin Junaidi di Indonesia
Destinasi Ranah Minang bukan hanya terkenal dengan pelancongan kulinari yang begitu menyelerakan akan tetapi turut terkenal dengan keunikan semula jadi dan juga budaya yang hanya terdapat di Sumatera Barat.
Salah satu keunikan tersebut ialah pertandingan lumba itik atau lebih dikenali sebagai Pacu Itiak yang diwarisi turun temurun oleh masyarakat setempat di Payakumbuh.
Perlumbaan itik merupakan salah satu aktiviti yang diadakan selama enam bulan berturut-turut dengan mempertandingkan itik-itik untuk berlumba dan terbang di jalan raya serta mendarat di tempat yang sudah ditentukan.
Perkataan Itiak merupakan Bahasa Minang, membawa makna itik. Perlumbaan ini hanya diadakan di bandar Payakumbuh dan di kawasan bandar Limpuluh, Sumatera. Perlumbaan Itik ini telah diiktiraf dunia dan hanya dipraktikkan di Sumatera, Indonesia, itulah keunikan perlumbaan ini wilayah berkenaan.
Penulis berpeluang untuk merasakan keunikan tersebut setelah dijemput oleh Kedutaan Besar Republik Indonesia di Brunei Darussalam sekali gus menyertai perlumbaan tersebut. Ia merupakan satu pengalaman yang unik dan dalam masa yang sama terhibur dengan menyertai pertandingan berkenaan.




Sejarah perlumbaan itik
Menurut penduduk tempatan, tradisi yang diwarisi turun-temurun itu sudah diadakan sejak ratusan tahun lalu oleh masyarakat di Payakumbuh. Ia dianggarkan bermula apabila petani di Aur Kuning, Payakumbuh menghalau itik yang memakan tanaman padi mereka dan berterbangan ke kawasan sawah, semenjak itu, ia menjadi satu hiburan dan dijadikan sebagai satu sukan oleh masyarakat tempatan, Payakumbuh.
Semasa menyertai perlumbaan tersebut, penulis diberikan tunjuk ajar terlebih dahulu tentang bagaimana untuk menerbangkan seekor itik lumba. Pada mulanya, pemilik itik perlu memegang itik masing-masing dan kemudian diterbangkan ke udara sekuat-kuatnya sehingga ia terbang menuju ke garisan penamat.
Seminggu sebelum itik itu dipertandingkan, itik tersebut perlu dikurung dan hanya diberi makan padi dan telur sahaja. Pada setiap petang, itik tersebut akan dilatih untuk terbang.
Dibahagikan kepada empat kategori
Pertandingan lumba itik ini dibahagikan kepada empat kategori, iaitu Kategori 800 meter, 1,000 meter, 1,200 meter manakala Kategori 1,600 meter turut dikenali sebagai pacuan boko iaitu Kategori Bebas.
Bagi Kategori 800 meter dan 1000 meter, setiap itik yang dipertandingkan perlu terbang dengan ketinggian 10 ke 20 meter hingga sampai ke garis penamat, sementara bagi Kategori 1,200 meter dan 1,600 meter pula dikenali sebagai kategori jalan panjang yang tidak menggunakan garis penamat namun itik-itik tersebut boleh mendarat di mana sahaja dan perlu terbang lurus mengikut panduan yang telah diberikan.
Bagi menyertai pertandingan ini, peserta perlu mengikut peraturan yang telah ditetapkan seperti itik berkenaan perlu berusia sekitar enam bulan. Manakala jenis itik pula perlu memiliki ciri-ciri tertentu seperti paruh dan kaki mesti mempunyai warna yang sama dengan bulu itik tersebut. Leher yang pendek, sayap yang lurus, jumlah gigi yang ganjil dan hujung kaki yang bersisik kecil. Harga untuk seekor itik lumba dianggarkan bernilai $100.
Menurut jurupandu pelancong kami di Sumatera, Soni, perlumbaan itik ini bukan hanya sekadar tradisi akan tetapi aktiviti ini wajib bagi masyarakat tempatan bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturahim antara satu dengan yang lain di Ranang Minang.
Selain itu, perlumbaan itik ini juga mampu menarik pelancong antarabangsa untuk datang menyaksikan sendiri keunikan aktiviti pertandingan tersebut.
Pertandingan berkenaan diadakan dengan penuh tradisi sehingga pertandingan itu menjadi perhatian dari seluruh dunia, sekali gus menjadi platform untuk meningkatkan lagi ekonomi Sumatera Barat.