Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keunikan pertarungan ‘buzkashi’ di Afghanistan

    MAZAR-I-SHARIF, Afghanistan – Sekumpulan lelaki di utara Afghanistan kelihatan menunggang kuda-kuda ‘buzkashi’ mereka untuk menjadi putera pahlawan, bersedia untuk bermain ‘polo’ dengan menggunakan karkas tanpa kepala.

    Para penunggangnya mestilah seorang yang berani, kuat dan tangkas dalam menamatkan sukan tradisional ‘buzkashi’, yang bermaksud ‘menyeret kambing’ dalam bahasa Parsinya.

    Permainan ini melibatkan 50 kilogram karkas yang akan direbut dan dibawa oleh kuda-kuda itu dan kemudian menjatuhkannya di tanda ‘bulatan keadilan’ yang berada di tanah – selepas melakukan sekali pusingan di padang itu dengan kecepatan penuh.

    “Hanya satu daripada ratusan kuda akan mendapat peluang di buzkashi ini,” kata Haji Mohammad Sharif Salahi, presiden persekutuan buzkashi di wilayah Balkh, di mana keluarganya telah memiliki kuda selama 100 tahun.

    “Kuda jantan General Dostum boleh bernilai sehingga AS$70,000. Beberapa Marshal Fahim boleh mencapai sehingga AS$100,000,” katanya, merujuk kepada tentera Uzbekistan yang hidup semasa pengasingan di Turki dan semasa zaman bekas naib presiden Afghanistan, Mohammad Qasim Fahim.

    Penunggang kuda warga Afghanistan bersiap sedia untuk mengikuti sukan tradisional buzkashi di pinggir Kabul. – AFP
    Penunggang kuda warga Afghanistan semasa berada di Mazar-i-Sharif. – AFP

    “Segala-galanya bergantung pada kekuatan dan daya tahannya,” kata Salahi.

     

    “Mereka dilatih untuk menghormati dan berkelakuan tenang, namun jika anda melepaskannya pergi, ia akan memakan antara satu dengan yang lain.”

    Balkh mempunyai lebih 150 pemilik kuda buzkashi, ada yang mempunyai lebih 400 kuda.

    Acara ini telah menarik 500 ekor kuda, namun angka itu boleh saja meningkat sehingga 2,000 ekor jika adanya majlis perayaan perkahwinan.

    Walaupun buzkashi adalah satu kebanggaan di kawasan utara, permainan ini juga mempunyai ramai pengikut di Kabul, dengan adanya perlawanan mingguan yang menarik ratusan penonton.

    Sama ada nilainya itu betul atau fantasi, harga yang mahal bagi seekor kuda buzkashi ini dapat diterjemahkan kepada penghormatan pemiliknya kerana ia melambangkan kekayaan dan juga kekuasaan.

    “Semua orang kaya mesti mempunyai kandang dan juga penunggangnya,” kata Haji Rais Moqim, sambil duduk di atas kudanya yang berukuran 19 hands (1.90 meter).

    Pengusaha, yang berpusat di ibu kota Mazar-i-Sharif dan suka mendengar lagu buzkashi popular dalam kenderaan 4X4 miliknya mempunyai 22 ekor kuda seperti bapanya.

    Pada waktu subuh, dia akan menunggang bersama pasukannya ‘sais’ untuk membuat latihan tunggangan.

    “Kuda adalah sebahagian daripada ahli keluarga. Ia dibesarkan seperti anak kecil di sekolah. Kami menjaganya seperti manusia,” katanya.

    Seorang warga Afghanistan – yang menjaga kudanya, pernah mengikuti sukan tradisional buzkashi – kelihatan menyapu kandang kudanya di Mazar-i-Sharif. – AFP
    Aksi penunggang kuda warga Afghanistan yang bersaing semasa satu perlawanan dalam sukan tradisional buzkashi di pinggir Kabul. – AFP

    Setiap kuda mempunyai pelatihnya sendiri, yang menjaganya setiap hari dan membentuk hubungan yang istimewa bersama.

    “Kuda kami berasal dari Uzbekistan. Ia memerlukan masa bertahun-tahun untuk melatihnya. Ia akan dikatakan sudah bersedia apabila berumur tujuh tahun dan mula bertarung pada usia 20 tahun atau lebih,” kata Mohammad Mousa, yang telah bekerja sebagai penjaga kepada Rais Moqim selama 18 tahun.

    Ketuanya telah memberi amaran kepada Mousa bahawa dia akan melepaskannya apabila kuda jantan – yang ditungganginya – mati. Apabila musim perlawanan itu semakin dekat menghampiri – bermula pada bulan November atau Disember dan berakhir pada akhir bulan Mac – kuda-kuda tersebut terpaksa mengikuti diet pemakanan yang ketat.

    Setelah diberi rehat dan digemukkan sehingga mencapai berat maksimum pada musim panas, kuda-kuda itu akan mengikuti latihan ketangkasan, agar ia dapat mengurangkan lemak dan mendapatkan semula kekuatan perlawanannya.

    Pada musim luruh, dua bulan sebelum permulaan musim ini, penjaga-penjaga kuda itu mula menjalankan latihan bersama kuda-kuda mereka sehingga empat jam pada satu masa untuk menguatkan lagi otot-otot mereka, kata Amir Khan, penjaga kuda bagi Salahi.

    “Selepas pulang, saya membiarkannya berlapar selama sejam dan kemudian memberinya tujuh kilogram barli, 10 biji telur bersama segelas minyak bijan dan juga pisang. Makanan yang sama turut diberikan pada waktu petang. Kami menjaganya dengan baik, ia memerlukan tenaga untuk buzkashi nanti.”

    Kuda-kuda itu disikat dan dimandikan setiap hari.

    “Setiap penternak memiliki resipi dan kepercayaannya,” kata penunggang kuda dari Perancis, Louis Meunier, yang telah menunggang bagi pasukan buzkashi di Kabul dari tahun 2007 hingga 2009 ketika dia bekerja untuk sebuah NGO di ibu kota Afghanistan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda