Thursday, May 8, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keunikan pica-pica berkonsepkan imaginasi dan fantasi tawar satu kelainan

    Oleh Lenna N.B

    SEBUAH kedai yang kecil, namun penuh imaginasi dan fantasi. Ruang yang terhad, tetapi mempunyai kepelbagaian. Mungkin mempunyai persamaan dengan kedai-kedai kiub, bentuk perniagaan yang agak popular sekarang ini, tetapi turut memiliki keistimewaan yang tersendiri daripada kelazimannya.

    Dua ekor kuda putih, berada di sudut tepi depan pintu, seakan-akan hendak membawa kita terbang ke dalam fantasi. Beberapa awan yang bergantungan, seakan membuatkan kita seolah-olah sedang berada di awangan. Itulah keistimewaan kedai kecil, ‘Pica Pica’ yang terletak di Kampung Menglait, Gadong.

    Ditubuhkan pada tahun 2014, sebuah perniagaan keluarga yang diusahakan oleh Datin Hajah Umi. Bermula sebagai sebuah kedai kiub, berubah kepada kedai perkhidmatan restoran dengan masih mengekalkan peti-peti kiub makanan. Perkataan ‘Pica Pica’ adalah dipetik daripada bahasa Filipina yang bererti ‘Finger Food’ atau makanan ringan, iaitu sebuah konsep yang diketengahkan oleh Pica Pica, memberikan peluang kepada para peniaga untuk menghantar makanan mereka di kiub-kiub yang telah disewakan, dan pada masa yang sama, orang ramai dapat memilih pelbagai juadah makanan ringan yang telah dipamerkan di kiub-kiub.

    “Namun, apabila semakin banyaknya kedai-kedai yang mengetengahkan konsep kiub, kami memilih mencari kelainan untuk keluar daripada seratus peratus budaya kiub, tetapi memasukkan perkhidmatan dapur di mana pengunjung kami bebas memilih lebih daripada 70 jenis juadah dalam menu kami. Malah kami mempunyai tukang masak atau cef kami tersendiri,” ujar Datin Hajah Umi, pemilik sebalik kedai Pica Pica, ketika ditemuramah Media Permata baru-baru ini.

    Berbagi rezeki di bulan Ramadan

    Bersempena dengan kehadiran bulan Ramadhan ini, Pica Pica telah menawarkan perkhidmatan penyediaan makanan untuk sedekah ke masjid, iaitu juadah berbuka bagi jemaah-jemaah masjid ketika waktu berbuka (Maghrib) dengan penghantaran percuma bagi Masjid Jame’Asr Hassanil Bolkiah. Enam pilihan hidangan yang telah ditawarkan itu adalah Nasi Ayam Mentega Susu (Butter Milk), Nasi Ayam Mentega, Nasi Ayam Teriyaki, Nasi Ayam Kari, Nasi Ayam Sambal, dan Nasi Ayam Penyet.

    Menurut Datin Hajah Umi, perkhidmatan projek bertemakan ‘Berbagi Rezeki’ ini sebenarnya adalah bertujuan untuk mendorong orang ramai untuk bersedakah di bulan Ramadan, kerana ramai yang tidak tahu bagaimana hendak menyalurkan amal ibadah bersedekah, tetapi telah pun menyimpan niat tersebut sejak sekian lama.

    “Kita sebagai orang Islam, memang suka berbagi rezeki apatah lagi ketika bulan Ramadan kerana berkongsi rezeki bukan sahaja membantu mereka yang tidak berkemampuan, tetapi sama-sama menikmati hidangan yang cukup lazat setelah menahan lapar sehari penuh. Projek berbagi rezeki ini adalah satu inspirasi untuk kita beramal ibadah, membantu memberikan sumbangan kepada masyarakat di samping melabur pahala untuk akhirat kelak. Justeru itu, dengan adanya perkhidmatan ini, kami dapat membawa dan membuka hati orang ramai untuk sama-sama bersedekah, dan semakin ramailah mereka yang telah dibantu, terutamanya bagi para jemaah masjid,” jelas Datin Hajah Umi.

    Menurutnya, sejak kali pertama mereka menawarkan perkhidmatan ‘Berbagi Rezeki’ tersebut, sambutan daripada orang ramai adalah amat menggalakkan. Orang Islam di negara ini sama-sama berebut untuk menyumbang dan melakukan amal ibadah. Setiap tempahan adalah istimewa daripada masakan dapur Pica Pica.

    “Alhamdulillah, kebanyakan penerima sedekah kelihatan sangat gembira dan rasa bersyukur. Sangat jelas terpancar pada wajah mereka perasaan gembira yang sangat bererti kerana dapat menikmati makanan berbuka bersama jemaah-jemaah yang lainnya. Orang Brunei memang prihatin. Mungkin inilah hari istimewa di bulan Ramadan, menyaksikan wajah mereka yang menyumbang, dan wajah si penerima yang mendongak ke langit bersyukur”.

    Projek ‘Berbagi Rezeki’ untuk jemaah-jemaah masjid berbuka puasa di bulan Ramadan.
    Projek ‘Berbagi Rezeki’ untuk jemaah-jemaah masjid berbuka puasa di bulan Ramadan.
    Kanak-kanak ceria bermain kuda di Pica Pica.
    Kanak-kanak ceria bermain kuda di Pica Pica.
    Permainan kuda-kuda membawa kepada dunia fantasi.
    Permainan kuda-kuda membawa kepada dunia fantasi.

    Lapan bahagian Kedai Pica Pica

    Walaupun kecil, namun setahun dari setahun pemilik kedai Pica Pica sentiasa membawa perubahan dari segi penampilannya. Bukan sahaja sebagai kejutan istimewa untuk para pelanggan, tetapi memudahkan para pekerja melakukan tugas mereka masing-masing terutamanya dari pekerja yang bertugas di meja depan.

    Pica Pica kini mempunyai lapan bahagian utama, merangkumi perkhidmatan bufet, hidangan ala carte dari dapur, peti kiub-kiub, hidangan dan minuman beku, bahagian pastri, kawasan menyalai dan membakar, bahagian gula-gula dan minuman jus-jus yang bermanfaat kepada kesihatan.

    “Dari segi harga makanan, kami berusaha untuk menawarkan makanan pada nilai harga yang sederhana, agar pelanggan dari pelbagai latar mampu untuk menikmati hidangan di Pica-Pica, termasuklah para pelajar yang mempunyai kewangan yang agak terhad dan terbatas. Begitu juga dari segi set Buffet. Semuanya murah dan pengunjung dari pelbagai latar belakang mampu untuk menjamu selera di sini.”

    Istimewanya, kedai kecil Pica Pica ini juga mempunyai set ambuyat, merangkumi ambulong, sayur pakis, ikan goreng dan cacah ambuyat. Malah, terdapat juga beberapa jenis hidangan salai yang dimasak segar di hadapan kedai Pica Pica iaitu sate ayam dan daging, tongkeng, cendawan bakar dan sayap ayam.

    Dari segi peti kiub pula, terdapat lebih daripada 20 peniaga sedang menawarkan produk-produk mereka di Pica Pica. Tujuan Pica Pica mengekalkan konsep asal kiub ini adalah untuk membantu peniaga-peniaga kecil yang bernaung di kedai tersebut sejak hari pertama lagi.

    Pada asalnya, Pica Pica mempunyai kira-kira 100 peti kiub, namun setelah perubahan demi perubahan setiap tahun termasuklah perkhidmatan restoran sekarang ini, kini perkhidmatan kiub telah diterhadkan jumlahnya.

    “Kami juga menawarkan perkhidmatan katering dan menerima tempahan hari jadi sama ada berbentuk makanan ringan atau masakan,” tambah Datin Hajah Umi.

    Turut menarik adalah kedai kecil pastri yang sebumbung dengan kedai Pica Pica iaitu ‘The Muffin Method’ yang diusahakan oleh anak Datin Hajah Umi sendiri. Pelbagai jenis hidangan pastri merangkumi tart, muffin, kek cawan, roti, waffle dan sebagainya telah memeriahkan Pica Pica.

    Tema reka bentuk dalaman

    Setiap enam bulan, reka bentuk dalaman kedai Pica Pica akan berubah. Ini kerana pemilik kedai ini sendiri pencinta seni rekabentuk dalaman. Tema kedai Pica Pica adalah berunsurkan fantasi dengan mengetengahkan konsep gula-gula, warna-warni ceria untuk kanak-kanak dan seakan berada di alam alam mimpi.

    “Saya dan suami suka melihat kanak-kanak masuk dan memilih gula-gula yang mereka sukai. Kami suka mereka duduk di atas kuda mainan dan ketawa riang seakan-akan mereka berada dalam dunia Wonderland. Inilah dunia fantasi yang telah direalisasikan,” tambah Datin Hajah Umi.

    Cipta kelainan

    Selaku seorang peniaga, Datin Hajah Umi mendorong para peniaga untuk mencipta kelainan dan keunikan dalam perniagaan bagi mencapai pemasaran. Walaupun pasaran di Brunei ini agak kecil, tetapi semangat berlumba-lumba membawa pembaharuan dan perubahan mendorong kepada perkembangan.

    “InsyaAllah kami merancang untuk mengembangluaskan perniagaan Pica Pica. Itu harapan kami ingin melihat Pica Pica berjaya, bukan sahaja dalam negara tetapi juga di luar negara. Sebagai peniaga, kita jangan mudah putus asa walau ada waktunya kita jatuh. Kita harus bangun membawa perubahan. Sudah tiba waktunya,” ujar Datin Hajah Umi di hujung temuramah, tersenyum melihat kedai kecilnya dalam mengapai alam fantasi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda