Wednesday, March 19, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keunikan pokok Mickey Mouse

    SPESIES Ochna kirkii atau digelar sebagai Mickey Mouse plant juga sebenarnya merupakan sejenis tumbuhan liar di beberapa buah negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura dan Indonesia.

    Tumbuhan ini adalah tergolong dalam keluarga tumbuhan Ochnaceae. Pokoknya bersaiz agak sederhana besar dan boleh mencapai sehingga tahap ketinggian dua meter.

    Terdapat dua jenis bunga yang tumbuh dari pokok hiasan ini. Satu jenis bunganya mempunyai lima kelopak dengan stamen-stamennya juga berwarna kuning menarik.

    Manakala sejenis lagi bunganya itu hanya mempunyai lima pengasuh bunga bersama dengan stamennya yang berwarna hijau ketika muda dan merah apabila telah malang.

    Bentuk bunga ini adalah mirip dengan muka watak kartun terkenal Walt Disney iaitu Mickey Mouse. Begitulah terbitnya nama gelaran Mickey Mouse plant.

    Spesies Ochna kirkii memiliki bentuk bunga yang mirip dengan wajah watak kartun terkenal Walt Disney iaitu Mickey Mouse.
    Spesies Ochna kirkii memiliki bentuk bunga yang mirip dengan wajah watak kartun terkenal Walt Disney iaitu Mickey Mouse.

    Dari bunga jenis ini juga terbitnya biji benih untuk pembiakan seterusnya. Manakala daunnya pula berbentuk bujur panjang serta sedikit bergerigi di sekelilingnya.

    Pembiakan

    Pokok ini senang untuk dibiakkan dengan menggunakan biji benih dari sejenis bunga yang tersebut di atas.

    Ikuti penanamannya dengan menggunakan beberapa kaedah seperti berikut. Mulakan dengan kaedah menanam terus bijinya di atas medium tanaman kekal seperti tersebut di bawah sama ada di tanah atau dalam pasu.Biarkan ia membesar menjadi rumpun pokok yang biasanya mengambil masa yang lama.

    Manakala kaedah kedua pula dengan menyemai dahulu biji benih dalam medium pasir sungai. Apabila anak benihnya telah tumbuh empat helai daun, pindah dan tanam semula dalam medium tanaman yag gembur dan kaya dengan bahan organik.

    Sementara kaedah ketiga pula melalui bijinya yang matang berwarna hitam dan akan gugur ke tanah dengan sendirinya dan membiak apabila keadaan persekitarannya sesuai. Anak benih ini juga boleh digunakan untuk penanamannya.

    Pokok ini mudah untuk tumbuh dalam medium tanaman yang bersaliran baik yang kaya dengan bahan organik seperti najis ayam reput dan sebagainya.

    Gunakan campuran tanah untuk pokok berpasu iaitu dalam nisbah 3:2:1 yang merangkumi tanah peroi, bahan organik dan pasir sungai.

    Penjagaan

    Siram pokok Mickey Mouse pada waktu pagi dan petang pada hari panas. Siram bila perlu sahaja pada hari hujan jika pokok terus terdedah kepada titisan air hujan.

    Ia perlu untuk didedahkan

    kepada cahaya matahari yang banyak untuk menggalakkan ia berbunga cantik sepanjang masa.

    Semua jenis baja sama ada baja kimia atau baja organik seperti najis ayam dan sebagainya adalah sesuai untuk pokok ini.

    Idea pameran

    Pada dasarnya spesies Ochna kirkii ini sesuai untuk ditanam dalam bentuk rumpunan yang menarik untuk pameran bunganya yang cantik dan menarik.

    Spesies ini juga boleh ditanam dalam pasu yang bersaiz agak besar agar mudah dipindah untuk dipamerkan di tempat yang bersesuaian.

    Ia juga boleh dicampur dengan pokok lain dalam gubahan pokok berbunga atau berdaun.

    Potong rantingnya untuk membentuk rumpun pokok yang cantik dan menarik serta menggalakkan ia berbunga lebat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda