Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan Dayang Noorashillayati
Tersenyum simpul insan ini sambil tangannya membalik-balik pulut panggang di atas pembakar, lebih-lebih lagi apabila terkenang memori terindah bersama ibu mertuanya ketika bertungkus lumus membantu menyiapkan tempahan para pelanggan mereka suatu ketika dahulu.
“Sekitar 15 tahun lalu, ilmu kemahiran dalam membuat pulut panggang ini lahir berkat daripada didikan ibu mertua saya. Saya bermula dengan hanya meneliti pembuatannya secara langsung, mencuba ‘suka-suka’ di depan beliau, sehinggalah saya mahir membuatnya.
“Segalanya menjadi kenangan terindah dalam sanubari ini.
“Begitu cepat masa berlalu, jika bukan kerana tunjuk ajar beliau yang amat teliti dan bersungguh-sungguh, saya tidak akan mampu menghasilkan sentuhan air tangan pulut panggang sendiri sehingga ke detik ini,” ujar Dayang Noorashillayati binti Mohd Ali ketika mengimbas kembali detik mula mengenal resipi pulut panggang daripada ibu mertuanya pada masa lalu sehingga membawanya tampil menceburi bidang berjual beli persendirian secara dalam talian di bawah nama Pulut Panggang Berirama sekitar awal tahun ini semasa ditemui penulis, baru-baru ini.
Tampil dengan nasi pulut hijau
Dayang Noorashillayati yang menjalankan perniagaannya secara sepenuh masa, menyediakan dua jenis pulut panggang iaitu inti udang dan juga daging.
Berkongsi secara ringkas mengenai bahan-bahan utama yang digunakan untuk menghasilkan hidangan ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu beras pulut, santan kelapa asli, minyak dan daun pandan bagi membuat pulut.
Manakala penyediaan inti pula memerlukan bahan-bahan asas utama seperti udang kering atau daging kisar termasuklah bawang besar, serbuk kari dan serbuk lada.
Setelah aduan beras pulut dan ramuan intinya sudah siap tersedia, maka proses pembuatannya menggabungkan beras pulut dan inti di bahagian tengah atas daun nyirik yang sudah dibersihkan, kemudian digulung dan disemat dengan potongan kecil batang lidi di bahagian luarannya supaya terbungkus rapi.
Bagi memberikan kelainan kepada produknya, usahawan berusia 32 tahun ini mengetengahkan pulut panggang diberi warna hijau.
Keikhlasan niat menjadi keutamaan
Dengan adanya sokongan yang teguh daripada ahli keluarga tersayang dan sahabat-handai selama ini, Dayang Noorashillayati amat bersyukur sambutan daripada orang ramai semakin menggalakkan dari hari ke hari yang mana anggaran pendapatan yang diperolehi dalam sehari sekitar $70 hingga $100.
“Apa yang pasti cabaran itu tidak terlepas di mana-mana dalam apa sahaja yang kita ceburi.
Kesukaran memperoleh daun nyirik dan begitu juga daging kisar yang kadang-kadang mengalami kehabisan stok, adalah antara cabaran yang saya hadapi. Namun ia tidak mematahkan semangat diri untuk menjalankan perniagaan ini.
“Niat yang ikhlas dalam menyiapkan setiap tempahan para pelanggan adalah perkara yang penting sentiasa saya semai dalam hati dan jiwa dalam meniti dunia perniagaan ini.
“Semuanya demi mengharapkan keberkatan rezeki dari Allah SWT,” ujar beliau dengan penuh kerendahan hati.
Yakin rezeki daripada Allah SWT
Walaupun terlalu banyak persaingan dalam dunia perniagaan ini, namun usahawan wanita yang berjiwa positif ini yakin dan percaya rezeki itu datangnya dari Allah SWT selagi kita berusaha dengan penuh keikhlasan dan kerendahan hati, di samping menitik beratkan kualiti produk atau perkhidmatan dengan sebaik-baiknya.
“Apa pun perniagaan yang kita ceburi itu pasti akan membuahkan hasil pengorbanan daripada titik peluh selama ini. Oleh itu perlu diingat bahawa kegagalan dan jatuh bangun dalam perniagaan adalah lumrah dan kita perlu bersedia dengan semua kemungkinan yang bakal tiba. Sekali jatuh bukan bermakna kita akan jatuh selamanya. Jadikan perkara ini sebagai pembakar semangat kita untuk bangkit dan terus bangkit.
Yakinlah setiap sentuhan air tangan seseorang itu memiliki keistimewaan yang tersendiri,” nasihat Dayang Noorashillayati dengan penuh ketulusan yang turut memiliki impian menubuhkan kafe mini pulut panggang suatu hari nanti semasa mengakhiri sesi temu bual bersama wartawan Media Permata, baru-baru ini.