Oleh Nurdiyanah R.
Gambar oleh Ak Zaki Kasharan
Rasa sekali, anda pasti mahukannya lagi! Begitulah keistimewaan hidangan rojak yang ditampilkan oleh salah sebuah restoran yang tidak asing lagi di negara ini, Lee Loi Fatt yang dari dahulu sehingga sekarang mampu memukau cita rasa para penggemarnya dari semua lapisan masyarakat di negara ini.
Rojak merupakan hidangan istimewa yang terdiri daripada gabungan buah-buahan segar dan sayur-sayuran mentah yang dihidangkan dengan sos kuah yang kebiasaannya dijumpai di negara-negara Melayu seperti Malaysia, Singapura dan juga Indonesia.
Rojak sotong menjadi igauan
Dengan adanya potongan sotong segar dengan hirisan timun serta buah nenas dan buah Mengkuang, ia dinikmati dengan kepekatan sos kuah yang diperbuat dari gula Melaka dan lada cili. Begitu juga dengan adanya taburan kacang yang dikisar halus di atas permukaannya.
Pastinya, rojak yang diberi nama Rojak Sotong itu sememangnya memiliki keunikan yang tersendiri terutamanya dari segi rasa yang mampu menjadi igauan para pengunjung yang menikmatinya bersama insan-insan tersayang.
Aroma cucur udang menusuk kalbu
Selain itu, cucur udang juga menjadi hidangan tarikan para pengunjung. Cucur yang berintikan udang segar yang diadun sebati dengan kelembutan tepung dengan rasa secukupnya digoreng dengan api yang sederhana dan dihidangkan panas-panas.


Lebih menggiurkan lagi dengan adanya sos kuah kicap dan lada merah yang pekat sebagai cicah apabila menikmatinya sama ada bersama minuman panas mahu pun sejuk. Pastinya ia mampu memberi kepuasan kepada para pengunjung, lebih-lebih lagi dengan tawaran harga yang bersesuaian mengikut saiz dan kuantiti yang amat berpatutan.
Selain itu, restoran ini juga menawarkan pelbagai hidangan istimewa yang lain antaranya ayam goreng rangup dan juga mee laksa. Tidak ketinggalan juga variasi minuman yang amat menyelerakan salah satunya ialah ais kacang merah.
Sekali cuba, mahu lagi
Salah seorang pelanggan tetap yang hanya mahu dikenali sebagai Z, semasa ditemui penulis menyatakan keterujaan beliau semasa menikmati rojak di restoran berkenaan di mana ia merupakan salah satu restoran pilihan beliau dan ahli keluarga tersayang semasa waktu tengah hari atau pun petang.
“Cucur udang yang dihidang panas-panas, lebih-lebih lagi dengan layanan pekerja yang begitu cekap, itulah yang menawan hati dan cita rasa saya untuk sering berkunjung ke restoran ini.”
“Begitu juga dengan Rojak Sotong yang lazat dengan adanya kesegaran potongan sotong dan hirisan bahan-bahan yang lain.
“Lebih menyelerakan lagi ialah kombinasi rasa manis dan pedas dari sos kuahnya sesuai dengan cita rasa saya dari dahulu sehingga kini. Pastinya tidak pernah mengecewakan sesiapa yang pernah mencubanya kerana sekali cuba pasti mahu lagi!,” tambahnya yang sudah mengenali restoran berkenaan sejak di bangku sekolah lagi.