BEIJING, 22 MEI – Pemimpin e-dagang China, Alibaba mengatakan bahawa keuntungan bersihnya menurun 88 peratus pada suku pertama tahun ini, tetapi pendapatan tahunannya mengalahkan ramalan penganalisis walaupun terjejas akibat COVID-19.
Syarikat yang berpangkalan di Hangzhou itu mengatakan, keuntungan bersih menurun kepada 3.16 bilion yuan (AS$447 juta) pada bulan Januari hingga Mac, berbanding 25.83 bilion yuan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.
Tetapi pegawai syarikat melahirkan rasa optimis setelah pendapatan mencapai 114,31 bilion yuan, hampir tujuh peratus lebih tinggi daripada ramalan daripada penganalisis Bloomberg.
Wabak itu muncul pada akhir tahun lalu di bandar Wuhan, China, kemudian merebak ke seluruh dunia. Langkah-langkah pencegahan yang agresif telah diambil bagi membendung penularan wabak di China dan aktiviti ekonomi disambung kembali beberapa minggu yang lalu, walaupun negara-negara lain terus berjuang.
“Walaupun wabak itu memberi kesan negatif kepada sebahagian besar perniagaan perdagangan domestik kami bermula pada akhir Januari, kami telah melihat pemulihan yang stabil sejak bulan Mac,” kata Ketua Pegawai Kewangan, Maggie Wu dalam kenyataan mengenai keuntungan syarikat.
Jangkaan Alibaba untuk suku tahun ini menjadi misteri, dengan pegawai tinggi syarikat mengatakan pada awal pandemik bahawa ramalan sangat sukar kerana wabak yang belum pernah terjadi sebelumnya.
China mengenakan kuarantin kepada berjuta-juta rakyatnya dan menghentikan pengangkutan awam ke seluruh negara semasa puncak krisis COVID-19 pada Januari dan Februari.
Ini menyebabkan ketidakpastian mengenai apakah gangguan pengangkutan akan merugikan perniagaan e-dagang utama Alibaba atau adakah pendapatannya akan meningkat kerana berjuta-juta orang yang tidak aktif di rumah beralih ke platform dalam talian untuk pesanan makanan dan keperluan asas dalam talian. – AFP
