Saturday, May 10, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keuntungan Amazon meningkat tiga kali ganda

    NEW YORK, 30 APRIL – Amazon berkata semalam keuntungan suku pertamanya meningkat tiga kali ganda berbanding setahun lalu, dirangsang oleh pertumbuhan membeli-belah dalam talian. Ia juga mencatat pendapatan berjumlah lebih daripada AS$100 bilion, suku kedua berturut-turut di mana syarikat mengatasi jumlah tersebut.

    Amazon adalah salah satu peruncit yang telah mencatat keuntungan semasa pandemik. Ketika kedai fizikal ditutup sementara, orang yang terperap di rumah beralih kepada Amazon untuk membeli barangan runcit, bekalan cucian dan banyak lagi.

    Dalam tiga bulan pertama tahun ini, syarikat melaporkan keuntungan sebanyak AS$8.1 bilion, berbanding dengan AS$2.5 bilion tahun sebelumnya. Pendapatan sesaham mencecah AS$15.79, kira-kira AS$6 lebih sesaham daripada yang dijangka oleh penganalisis Wall Street, menurut FactSet.

    Pendapatan meningkat 44 peratus kepada AS$108.5 bilion. Amazon ialah satu daripada empat syarikat Amerika yang telah melaporkan pendapatan suku melebihi AS$100 bilion. Syarikat lain ialah pembuat iPhone Apple, syarikat minyak dan gas Exxon Mobil dan peruncit Walmart.

    Amazon berkata pendapatan akan kekal pada tahap itu dalam suku kedua, menjangka antara AS$110 bilion dan AS$116 bilion. Sebahagian daripada sebabnya adalah ia merancang mengadakan Prime Day, acara jualan popular sebelum Jun.

    Minggu ini, Amazon mengumumkan ia akan memberikan lebih 500,000 pekerjanya kenaikan di antara 50 sen dan AS$3 sejam mulai bulan depan untuk menarik pekerja baharu. Syarikat telah pun membayar sekurang-kurangnya AS$15 sejam. – AP

    Gambar fail menunjukkan bungkusan bergerak di tali sawat penyampai di gudang Amazon di Goodyear, Arizona. Amazon berkata semalam keuntungan suku pertamanya meningkat tiga kali ganda berbanding setahun lalu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda