RIYADH, 10 MAC – Saudi Aramco kelmarin melaporkan penurunan 24.7 peratus dalam keuntungan pada 2023 berbanding tahun sebelumnya, hasil daripada harga minyak yang lebih rendah dan pemotongan pengeluaran.
Gergasi minyak itu berkata dalam pemfailan dengan pasaran saham Saudi bahawa pendapatan bersih mencecah 454.7 bilion riyal Saudi (AS$121.25 bilion) pada 2023, berbanding 604.01 bilion riyal Saudi (AS$161.07 bilion) pada 2022.
“Kemerosotan itu terutamanya mencerminkan kesan harga minyak mentah yang lebih rendah, jumlah jualan yang lebih rendah, margin penapisan dan bahan kimia yang semakin lemah,” kata Aramco.
Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Februari 2022 mendorong harga minyak meningkat kepada lebih AS$130 setong pada tahun itu.
Aramco melaporkan apa yang disifatkannya sebagai rekod keuntungan untuk 2022, memberikan kerajaan lebihan belanjawan tahunan pertamanya dalam hampir 10 tahun.
“Pada 2023, kami memperoleh pendapatan bersih kedua tertinggi kami. Ketahanan dan ketangkasan kami menyumbang kepada aliran tunai yang sihat dan tahap keuntungan yang tinggi, meskipun berlatarkan masalah ekonomi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Aramco, Amin H. Nasser dalam satu kenyataan. – AFP
