Saturday, December 7, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keuntungan Aramco menurun 23%

    RIYADH, 7 NOV – Syarikat tenaga gergasi Arab Saudi, Aramco hari ini melaporkan penurunan keuntungan sebanyak 23 peratus berbanding tahun sebelumnya bagi suku ketiga, akibat harga minyak yang lebih rendah dan pengurangan pengeluaran.

    Penurunan daripada AS$42.43 bilion tahun lepas kepada AS$32.58 bilion ‘terutamanya mencerminkan kesan harga minyak mentah yang lebih rendah dan jumlah yang dijual’, kata firma itu dalam satu kenyataan kepada bursa saham Arab Saudi.

    Ia menyusul penurunan keuntungan bersih Aramco, salah satu syarikat terkaya di dunia, sebanyak 19.25 peratus pada suku pertama dan 38 peratus pada suku kedua berbanding 2022.

    Aramco merupakan permata ekonomi Arab Saudi dan sumber pendapatan utama bagi program reformasi ekonomi dan sosial yang dikenali sebagai Wawasan 2030 oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang bertujuan untuk mengalihkan negara itu daripada bahan api fosil.

    Arab Saudi, pengeksport minyak terbesar dunia, memiliki 90 peratus saham Aramco.

    Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Februari 2022 menyebabkan harga minyak melonjak, mencapai lebih daripada AS$130 setong.

    Harga tahun ini dianggarkan sekitar AS$85 setong, kata firma Jadwa Investment yang berpangkalan di Riyadh dalam satu laporan pada akhir Oktober. – AFP

    Gambar ANN/The Japan Times
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda