RIYADH, 5 OGOS – Sebuah syarikat minyak besar Arab Saudi, Aramco, hari ini telah mengumumkan penurunan keuntungan suku tahunan buat kali ke-10 secara berturut-turut apabila kejatuhan harga minyak menjejaskan hasil pendapatan, sekali gus memberi tekanan lebih besar ke atas pemacu utama ekonomi negara tersebut.
Keuntungan suku kedua jatuh sebanyak 22 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 85 bilion riyal (AS$22.67 bilion), meneruskan trend penurunan yang bermula sejak akhir 2022.
“Penurunan hasil pendapatan ini berpunca terutamanya daripada harga minyak mentah yang lebih rendah serta penurunan harga produk penapisan dan kimia,” kata Aramco dalam laporan suku tahunannya.
Kemerosotan pendapatan Aramco berlaku pada ketika Arab Saudi sedang melaksanakan transformasi ekonomi besar-besaran yang menelan kos tinggi, dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap hasil minyak serta mempelbagaikan sumber pendapatan menerusi pelancongan dan sektor perniagaan.
Projek Wawasan 2030 yang diterajui Putera Mahkota Mohammed bin Salman merangkumi pembangunan resort mewah, kompleks hiburan berskala besar dan NEOM – sebuah bandar futuristik bernilai AS$500 bilion yang sedang dibina di tengah padang pasir.
Hari ini, saham Aramco diniagakan pada harga 23.97 riyal iaitu 12 peratus lebih rendah daripada harga 27.35 riyal semasa tawaran saham sekunder tahun lalu.
Sejak mencapai kemuncak hampir AS$2.4 trilion pada 2022 susulan lonjakan harga minyak akibat pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, nilai pasaran Aramco telah merosot lebih AS$800 bilion.
Kini, harga minyak mentah kekal sekitar AS$70 setong, walaupun rantau Timur Tengah dilanda ketegangan termasuk perang singkat antara Israel dan Iran pada bulan Jun.
Namun, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Aramco, Amin H. Nasser, kekal optimis dan menjangkakan permintaan minyak akan meningkat dalam separuh kedua tahun ini.
“Asas pasaran kekal kukuh dan kami menjangkakan permintaan minyak pada separuh kedua 2025 akan meningkat lebih dua juta tong sehari berbanding separuh pertama,” katanya dalam laporan tersebut.
Pada Ahad lalu, Arab Saudi, Rusia dan enam lagi negara anggota utama pakatan OPEC+ telah mengumumkan peningkatan pengeluaran sebanyak 547,000 tong sehari, selaras dengan usaha untuk menamatkan pemotongan pengeluaran sebanyak 2.2 juta tong sehari yang sebelum ini bertujuan menstabilkan harga. – AFP


