Friday, May 9, 2025
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keuntungan bersih Sinopec melonjak

    SHANGHAI, 27 Mac – Syarikat tenaga China terbesar milik kerajaan, Sinopec berkata keuntungan bersih tahun 2016 melonjak 44 peratus, peningkatan keuntungan tahunan pertamanya ketika permintaan kukuh dan margin lebih baik dalam perniagaan penapisannya telah membantu mengimbangi harga minyak rendah.

    Sinopec, unit China Petrochemical Corp yang tersenarai telah menyaksikan lonjakan keuntungan bersih kepada 46.7 bilion yuan, menurutnya dalam satu kenyataan yang dikirim ke bursa saham Hong Kong tempat ia disenaraikan.

    Syarikat penapis terbesar di Asia ini sebelumnya telah menyaksikan keuntungan menjunam kira-kira 30 peratus pada tahun 2015 dan 2014.

    Presiden Sinopec, Dai Houliang berkata satu sebab bagi hasil ‘yang lebih baik daripada yang dijangkakan’ ialah ‘permintaan bagi kimia meningkat berterusan’.

    Sementara perniagaan bahan mentah lembap ekoran harga minyak mentah antarabangsa yang rendah, perniagaan penapisan di hilir meningkat ketika permintaan domestik bagi produk minyak bertapis adalah kukuh, dan ‘pertumbuhan berterusan’ bagi kimia, menurut Dai.

    Dalam kenyataan berasingan, Sinopec juga meramalkan keuntungan akan bertambah dalam suku pertama tahun 2017.

    “Harga minyak mentah yang lebih rendah telah membantu margin Sinopec tahun lalu,” Tian Miao, penganalisis di Beijing di North Square Blue Oak memberitahu Bloomberg News.

    “Sinopec mungkin terus meraih faedah dari pertumbuhan permintaan kukuh bahan api China, terutamanya gasolin. Risiko bagi Sinopec mara ke hadapan ialah harga minyak mentah meningkat terlalu tinggi dan terlalu cepat kerana margin perniagaan bahan mentah yang lebih tinggi tidak akan mampu untuk menampung kerugian penapisan.”

    Pagi ini, Sinopec naik 0.65 peratus di Hong Kong tetapi jatuh 1.21 peratus di Shanghai, tempat ia juga disenaraikan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda