BEIJING, 28 MAC – Pembuat peralatan telekomunikasi China, Huawei berkata hari ini, jualannya merosot tetapi keuntungan meningkat 76 peratus pada 2021, meskipun sekatan dari Amerika Syarikat (AS).
Ketua pegawai kewangan Huawei telah dibebaskan oleh pihak berkuasa Kanada tahun lalu, menamatkan perselisihan dengan Washington berhubung urusan syarikat gergasi teknologi itu dengan Iran. Syarikat itu terbabit di tengah-tengah ketegangan dengan Washington mengenai teknologi dan keselamatan.
Pegawai Amerika berkata Huawei, pembuat peralatan terbesar untuk pembawa telefon, menimbulkan risiko keselamatan yang mungkin membolehkan pengintipan China, satu tuduhan yang ditolak syarikat itu.
Huawei Technologies Ltd., jenama teknologi global pertama China, menambah penekanannya untuk memberi perkhidmatan kepada hospital, lombong dan pelanggan industri lain selepas perniagaan telefon pintarnya, yang pernah menjadi salah satu yang terbesar, telah dilumpuhkan oleh sekatan yang dikenakan oleh Washington terhadap akses kepada komponen AS dan lain-lain teknologi pada tahun 2019.
Syarikat itu melaporkan pendapatan 2021 sebanyak AS$99.9 bilion, turun 28.6 peratus daripada 2020. Ia berkata keuntungannya meningkat 75.9 peratus kepada AS$17.8 bilion.
“Prestasi kewangan keseluruhan kami semakin kukuh,” kata CFO, Meng Wanzhou, pada sidang akhbar di ibu pejabat Huawei di bandar selatan Shenzhen. “Syarikat lebih mampu menangani ketidakpastian.”
Meng, anak perempuan pengasas Huawei, telah ditangkap di Kanada pada 2018 atas tuduhan AS bahawa dia berbohong kepada bank di Hong Kong mengenai urusan dengan Iran. Pihak berkuasa China menahan dua warga Kanada dalam usaha memaksa Kanada membebaskannya. – AP
