FRANKFURT, 31 JULAI – Kumpulan penerbangan Jerman, Lufthansa, melaporkan keuntungan bersih yang telah mencapai lebih daripada dua kali ganda pada suku kedua tahun ini, berikutan peningkatan permintaan, di samping mengekalkan sasaran tahunan meskipun dalam ketidaktentuan pasaran global.
Keuntungan bersih bagi tempoh April hingga Jun bagi syarikat itu telah mencecah sehingga satu bilion euro iaitu meningkat daripada 469 juta euro pada tahun sebelumnya.
Keputusan itu turut dipengaruhi oleh faktor cukai dan pertukaran mata wang serta jumlah jualan yang meningkat sehingga 3 peratus kepada 10.3 bilion euro.
Penganalisis yang ditinjau oleh firma data kewangan FactSet sebelum ini turut meramalkan keuntungan bersih sekitar 500 juta euro bagi kumpulan yang memiliki syarikat penerbangan seperti Lufthansa, Eurowings, Austrian, Swiss dan Brussels Airlines.
“Kumpulan Lufthansa kekal berada di landasan yang tepat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Carsten Spohr.

Kumpulan itu menjangkakan keuntungan operasi yang ‘jauh lebih tinggi’ berbanding hasil tahun 2024 yang berjumlah 1.6 bilion euro.
Lebih 37 juta penumpang menaiki pesawat kumpulan tersebut dalam suku kedua, berbanding 35.9 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Terdapat juga ‘hasil positif’ daripada pengambilalihan kepentingan minoriti dalam ITA Airways, syarikat penerbangan milik kerajaan Itali yang ditubuhkan menggantikan Alitalia, pada awal tahun ini.
Anak syarikat kargo udaranya turut menggandakan keuntungan operasi hasil permintaan tinggi untuk penghantaran e-dagang dari Asia, sementara program pemulihan syarikat induk Lufthansa menunjukkan kemajuan.
Prestasi bagi suku tahun ini juga lebih baik jika dibandingkan dengan tempoh sama tahun lalu, apabila Lufthansa berdepan dengan masalah mogok pekerja. – AFP

