COPENHAGEN, 2 NOV – Syarikat gergasi perkapalan, AP Moeller-Maersk berkata hari ini keuntungannya meningkat enam kali ganda dalam suku ketiga ketika pandemik koronavirus dan masalah rantaian bekalan global mendorong harga kontena naik.
“Maersk mencatat pendapatan memberangsangkan dalam suku ketiga, kata ketua eksekutif Soren Skou.
“Dalam situasi pasaran luar biasa, dengan permintaan tinggi di Amerika Syarikat (AS) dan gangguan global terhadap rantaian bekalan, kami terus menambah kapasiti dan mengembang tawaran kami untuk menghantar kargo kepada pelanggan kami.”
Maersk berkata keuntungan bersih berjumlah AS$5.438 bilion dalam tempoh dari Julai hingga September, berbanding keuntungan AS$947 juta setahun sebelumnya.
Keuntungan operasi meningkat hampir lima kali ganda kepada AS$5.859 bilion dan pendapatan melonjak sebanyak 67 peratus kepada AS$16.612 bilion.
“Keputusan dalam suku ketiga didorong oleh kadar pengangkutan tinggi dalam situasi pasaran luar biasa,” menurut kumpulan.
Melihat ke depan, Maersk berkata ia berpegang pada ramalan tahun penuh untuk keuntungan operasi sebanyak AS$18-19 bilion.
Bagaimanapun, divisyen perkapalan laut ‘kini dijangka berkembang di bawah ramalan permintaan kontena global di antara tujuh dan sembilan peratus tahun ini,’ tertakluk kepada ketidakpastian berkaitan dengan kesesakan dan gangguan rangkaian buat masa sekarang,” menurut Maersk.
“Keadaan perniagaan sekarang masih tertakluk kepada ketidakpastian lebih tinggi daripada biasa disebabkan corak permintaan yang bersifat sementara sekarang, iaitu gangguan dalam rantaian bekalan,” katanya. – AFP
