Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keuntungan Mercedes-Benz merosot akibat pasaran lemah China, tarif AS

    FRANKFURT, 29 OKT – Syarikat pengeluar kereta terkenal dari Jerman, Mercedes-Benz, melaporkan penurunan keuntungan suku ketiga pada hari Rabu, terjejas oleh jualan yang lemah di China serta tarif Amerika Syarikat (AS).

    Keuntungan bersih di syarikat yang berpangkalan di Stuttgart itu jatuh 30.8 peratus kepada AS$1.38 bilion, melebihi jangkaan penganalisis dalam tinjauan pendapat oleh firma data kewangan, FactSet.

    “Keputusan suku ketiga kami selaras dengan panduan tahun penuh kami,” kata ketua Mercedes-Benz, Ola Kaellenius.

    Julai lalu, firma itu menurunkan tinjauannya untuk tahun ini selepas serangan tarif Presiden AS, Donald Trump dan berkata ia menjangkakan pendapatan untuk 2025 akan berada ‘di bawah’ 146 bilion euro yang diperolehnya tahun lepas.

    Mercedes-Benz yang juga mempunyai kilang di Tuscaloosa, Alabama terpaksa bergelut dengan duti AS sebanyak 25 peratus ke atas import alat ganti kereta yang datang dari luar Amerika Utara.

    Jumlah jualan di pasaran utama China jatuh 27 peratus pada suku ketiga, turut menyumbang kepada jualan keseluruhan yang menurun sebanyak 12 peratus.

    China yang juga medan pasaran kereta terbesar di dunia telah menjadi medan pertempuran bagi pengeluar kereta Jerman di tengah-tengah perang harga dan persaingan sengit daripada pengeluar kereta tempatan seperti BYD. – AFP

    Keuntungan Mercedes Benz merosot. – Gambar Unplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda