FRANKFURT AM MAIN, 25 FEB – Syarikat gergasi insurans Jerman, Munich Re berkata hari ini koronavirus telah mendorong keuntungan lebih rendah pada tahun 2020 tetapi mereka menjangkakan kesan pandemik adalah ‘jauh lebih kecil’ tahun ini.
Kumpulan yang berpusat di Munich, yang perniagaan utamanya adalah melindungi syarikat insurans lain daripada risiko, mencatatkan keuntungan bersih 1.2 bilion euro (AS$1.5 bilion) tahun lalu, berbanding 2.7 bilion euro pada tahun 2019.
Krisis COVID-19 menjejas tuntutan syarikat sebanyak 3.4 bilion euro, terutamanya kerana ia memaksa pembatalan acara-acara besar.
Tuntutan yang berkaitan dengan bencana alam adalah ‘jauh lebih rendah daripada yang dijangkakan’ pada tahun 2020, dengan Taufan Laura, yang melanda Louisiana Amerika Syarikat (AS) pada bulan Ogos lalu, muncul sebagai malapetaka termahal yang menelan kos 280 juta euro.
Pemerolehan premium untuk tahun 2020, yang setara dengan pendapatan dalam sektor insurans, meningkat 6.7 peratus untuk mencecah 54.9 bilion euro.
Walaupun keuntungannya lebih rendah, Munich Re mengatakan akan membayar dividen yang sama seperti pada tahun 2019 sebanyak 9.80 euro sesaham.
Kumpulan itu mengatakan bahawa ia optimis mengenai tahun kewangan semasa, yang menyasarkan untuk memperoleh keuntungan bersih berjumlah 2.8 bilion euro dan peningkatan dalam premium. – AFP