ZURICH, 24 JULAI – Nestle melaporkan keuntungan bersihnya merosot dalam separuh pertama tahun ini apabila gergasi makanan dari Switzerland itu yang terkenal dengan kapsul kopi Nespresso dan coklat KitKat berdepan kesukaran memulihkan prestasinya susulan perbelanjaan pengguna yang lembap di China.
Syarikat yang turut memiliki jenama seperti makanan haiwan Purina, kiub pati Maggi, makanan anak damit Gerber dan minuman coklat Nesquik itu mencatatkan penurunan keuntungan sebanyak 10.3 peratus kepada 5.1 bilion franc Swiss bagi separuh pertama tahun ini.
Bagaimanapun, jualan hanya merosot sebanyak 1.8 peratus kepada 44.2 bilion franc, sebahagian besarnya disebabkan pemindahan kos koko dan kopi yang meningkat kepada pengguna, meskipun turut terjejas oleh kekuatan mata wang franc Swiss.
“Kami juga sedang mengambil langkah tegas untuk memperkukuh perniagaan kami di China,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Laurent Freixe.
Nestle menjelaskan bahawa China, yang mengalami kelembapan penggunaan domestik dalam persekitaran kemelesetan harga, telah memberi kesan sebanyak 0.7 mata peratusan terhadap pertumbuhan organik pada suku kedua tahun ini.
Secara keseluruhan, syarikat itu mencatatkan pertumbuhan organik suku tahunan sebanyak 2.9 peratus, iaitu ukuran prestasi yang tidak mengambil kira kesan tukaran mata wang dan faktor lain.
Nestle turut memberi amaran bahawa China dijangka terus memberikan kesan ke atas pertumbuhan ketika syarikat-syarikat menimbang membuat pelaburan untuk memulihkan prestasinya di negara tersebut.
Saham Nestle susut sebanyak 3.5 peratus di pasaran saham Switzerland yang keseluruhannya tidak berubah, susulan angka jualan yang tidak mencapai jangkaan penganalisis yang dikira oleh agensi berita kewangan Swiss, AWP. Walaupun begitu, keuntungan bersih syarikat masih mencatat sedikit peningkatan daripada jangkaan. – AFP
