SEOUL, 7 JULAI – Samsung Electronics berkata hari ini ia menjangkakan keuntungan operasi suku kedua merosot lebih daripada 95 peratus ke paras terendah dalam tempoh 14 tahun, ketika lambakan semikonduktor global terus menjejaskan sektor memori terasnya.
Firma itu ialah anak syarikat utama gergasi Korea Selatan, Samsung Group, setakat ini yang terbesar daripada konglomerat dikawal keluarga yang menguasai perniagaan dalam ekonomi keempat terbesar di Asia itu.
Gergasi teknologi itu berkata dalam pemfailan kawal selia bahawa keuntungan operasi April-Jun dijangka merosot 95.7 peratus kepada 600 bilion won (AS$458 juta).
Ia akan menjadi keuntungan terendah syarikat sejak suku pertama 2009 sebanyak 590 bilion won, beritahu jurucakap Samsung kepada AFP.
Jualan dijangka turun 22.3 peratus kepada 60 trilion won, tambah syarikat itu.
Pembuat cip Korea Selatan, yang diketuai oleh Samsung, telah mengalami rekod keuntungan dalam beberapa tahun kebelakangan ini apabila harga melambung tinggi, tetapi kelembapan ekonomi global telah menjejaskan jualan semikonduktor. – AFP


