SEOUL, 31 JULAI – Pengeluar telefon pintar dan cip memori terbesar di dunia, Samsung Electronics hari ini melaporkan keuntungan bersih suku kedua merosot lebih separuh tatkala menghadapi pasaran cip lemah, dan ketika perbalahan perniagaan meningkat di antara Seoul dan Tokyo.
Subsidiari Kumpulan Samsung itu telah mencatat keuntungan kukuh dalam beberapa tahun ini meskipun beberapa siri halangan namun kini sedang bergelut dengan kemerosotan harga cip apabila bekalan global meningkat.
Keuntungan bersih dalam tiga bulan hingga Jun berjumlah 5.18 trilion won, kata Samsung Electronics dalam satu kenyataan, merosot 53 peratus tahun-ke-tahun.
“Kelemahan dan kemerosotan harga dalam pasaran cip memori berlarutan meskipun pemulihan terhad dalam permintaan,” katanya.
Dalam telefon bimbit, ia mencatat ‘hantaran lebih kukuh untuk model pasaran baharu namun terjejas oleh jualan lebih lembap dan perbelanjaan pemasaran yang meningkat,” tambahnya.
Keputusan keluar beberapa jam selepas Apple, salah satu pesaing utama Samsung, mengeluarkan keputusan lebih baik daripada dijangka kerana pertumbuhan daripada perkhidmatan membantu menghapus kira jualan lemah iPhone.
Keuntungan operasi merosot 56 peratus kepada 6.6 trilion won pada suku kedua, kata firma, sementara jualan merosot empat peratus kepada 56.13 trilion won. – AFP
