SEOUL, 31 JAN – Pengeluar cip memori kedua terbesar dunia, SK Hynix dari Korea Selatan, mencatat kemerosotan keuntungan suku sebanyak 95 peratus pada hari ini tatkala ia mengalami kelembapan dalam pasaran global.
Pengeluar cip negara Asia Timur – dipimpin oleh Samsung Electronics – telah memperoleh keuntungan besar dalam beberapa tahun ini tatkala harga untuk produk mereka meningkat.
SK Hynix membekal cip kepada syarikat daripada syarikat gergasi AS Apple kepada Huawei China tetapi permintaan mulai merosot dan bekalan bertambah selepas pengeluar melabur berbilion dolar dalam kilang baharu.
Keuntungan operasi untuk SK Hynix merosot 95 peratus kepada 236 bilion won tahun ke tahun dalam tempoh Oktober hingga Disember, kata syarikat dalam satu kenyataan.
Firma itu juga mencatat kerugian bersih berjumlah 118 bilion won, sementara jualan merosot 30 peratus kepada 6.9 trilion won.
Untuk tahun penuh 2019, keuntungan bersih berjumlah 2.01 trilion won, merosot 87 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pengeluar itu telah dibelenggu perang perniagaan di antara China dan Amerika Syarikat dan terbabit dalam perbalahan diplomatik di antara Seoul dan Tokyo berhubung sejarah perang, dengan Jepun pada Julai mengenakan sekatan ke atas eksport yang penting kepada syarikat teknologi Korea Selatan.
“Pertambahan dalam bebanan inventori dan dasar pembelian konservatif bagi pelanggan mendorong kemelesetan dalam permintaan serta kemerosotan harga,” kata pengeluar cip. – AFP